Isnin, 10 Oktober 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Raja sehari dirai empat hari

Posted:

Raja sehari dirai empat hari

Raja sehari dirai empat hari

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

PERANCANGAN awal pasangan Siti Sunartye Mohd. Syam, 22, dan Mohd. Hafiez Ibrahim, 24, untuk mengadakan resepsi perkahwinan secara sederhana seperti pasangan lain bertukar menjadi satu majlis yang mendapat liputan luas.

Persandingan mereka bukan saja menjadi tatapan orang ramai sekitar Johor Bahru, malah setiap persiapan bagi menjayakan majlis perkahwinan mereka dirancang dan disiapkan sepenuhnya oleh penganjur.

Menerusi Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia anjuran Rakan Belia 4B (M) Johor dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn. Bhd. (NIPV) itu, Sunartye dan Hafiez menceduk pelbagai pengalaman berharga sepanjang majlis tersebut dilangsungkan selama empat hari.

Bermula dengan acara pernikahan beramai-ramai, tiga pasangan yang menyertai festival itu juga berpeluang mengadakan majlis berinai dan persandingan berkonsepkan tradisional Melayu Johor.

"Kebetulan festival ini dijalankan dalam tempoh rancangan perkahwinan kami, jadi secara tidak langsung ia menjimatkan kos.

"Kebiasaannya, majlis yang dibuat sendiri tidak memerlukan penglibatan keseluruhan pengantin kerana hampir semua persiapan dikendalikan keluarga dan sanak saudara, tetapi dalam majlis ini kami terlibat dari awal hingga akhir acara.

"Kami dapat belajar selok-belok sesuatu adat perkahwinan Melayu itu dijayakan dan tenaga juga dapat dijimatkan di samping memberi kelapangan kepada ahli keluarga terdekat," ujar Sunartye yang mendapat sokongan sepenuhnya keluarga kedua-dua belah pihak bagi melangsungkan perkahwinnanya dalam festival itu.

Begitu juga dengan pasangan Wan Noor Wajiha Wan Mustapha, 24, dan Muhammad Firdaus Padzil, 28. Kedua-duanya turut menggalakkan agar lebih ramai orang awam menyertai festival itu pada masa akan datang.

Sepanjang empat hari itu, penginapan mereka ditaja. Walaupun jumlah tetamu bagi setiap pasangan terhad, ia tidak mengundang apa-apa masalah kerana kehadiran keluarga terdekat menjadi keutamaan.

Kemuncak festival

"Pakaian nikah dan bersanding termasuk solekan semua ditanggung penganjur, bukan itu sahaja kami turut dibawa menaiki kereta Proton Perdana secara konvoi di sekitar Johor Bahru sebelum tiba ke tempat persandingan.


PASANGAN pengantin dari kiri: Wan Noor Wajiha Wan Mustapha, Muhammad Firdaus Padzil, Jeffri Hudi, Noraniza Idris, Mohd. Hafiez Ibrahim dan Siti Sunartye Mohd. Syam.


"Pengalaman itu memang tidak akan dilupakan sampai bila-bila apatah lagi kami berpeluang bertemu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar ketika majlis resepsi Noraniza Idris," ujar Wan Noor Wajiha yang akan mengadakan kenduri kesyukuran buat keluarga terdekat selepas majlis itu berakhir.

Kemuncak festival itu sudah tentu persandingan perdana penyanyi lagu-lagu irama Malaysia, Noraniza Idris, 43, dan Jeffri Hudi, 52. Mereka dibawa menaiki Proton Perdana Eksekutif diiringi 20 buah kereta perdana dari Kelab Proton Perdana Johor (Properd) dan 40 buah motosikal berkuasa tinggi oleh Johor Bikers.

Kemodenan hidup dan kecendurangan masyarakat hari ini mempraktikkan budaya Barat sedikit sebanyak menghakis budaya dan tradisi peninggalan nenek moyang yang sewajarnya dijaga sampai bila-bila.

Konteks perkahwinan berteraskan adat Melayu jua dilihat seperti sudah kehilangan identitinya apabila pelbagai upacara dan pengisian majlis penyatuan Adam dan Hawa itu rata-rata mengalami asimilasi Barat yang agak berlebihan.

Jarang sekali kita dapat melihat perkahwinan Melayu seperti adat berbalas pantun saat pengantin lelaki bertandang ke rumah pengantin perempuan, adat membayar 'tol' juga semakin karam berikutan peredaran zaman.

Namun, selama festival itu berlangsung di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru, Johor ia menyaksikan pelbagai aturcara berkaitan perkahwinan Melayu tradisional ditonjolkan menerusi demonstrasi dan juga secara langsung.

Pada majlis yang julung-julung kalinya dilaksanakan itu, istiadat perkahwinan dijalankan mengikut budaya Melayu Johor dan mendidik orang awam membezakan antara tuntutan agama dan adat ciptaan manusia.

Perkahwinan moden pula menyaksikan majlis diisi dengan montaj video pasangan meniti hari-hari perkenalan, perarakan pula diiringi kanak-kanak perempuan yang dipanggil flower girl menabur bunga sepanjang laluan pengantin ke pelamin.

Elemen Inggeris

Begitu juga dengan pemilihan busana. Sukar menemui mempelai yang rela menyarungkan pakaian raja sehari tradisional kerana bimbang dikatakan ketinggalan zaman. Hampir semua masyarakat Melayu kini selesa menempah busana moden elemen Inggeris.


SULTAN Johor (tiga dari kiri), Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar (tengah)mencemar duli ke persandingan perdana Noraniza Idris dan Jeffri Hudi.


Mungkin mentaliti masyarakat zaman ini lebih global dan tidak mahu terperangkap dalam adat lapuk yang dianggap membebankan menyebabkan adat perkahwinan tradisi semakin hilang keasliannya.

Kerjasama produksi Noraniza dan Belia 4B Johor yang disokong oleh Tourism Malaysia, Jabatan Diraja Johor, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan banyak lagi itu cuba menepis tanggapan itu dengan menekankan keindahan perkahwinan Melayu tradisional.

Pengerusi Gerakan Belia 4B Johor, Syahrin Mad Jamaludin, 36, berkata antara tujuan festival itu diadakan adalah bagi memaparkan adat perkahwinan Melayu Johor yang begitu kuat dipengaruhi unsur-unsur Islamik seperti khatam al-Quran dan berzanji.

Dalam pada itu, ia turut diselitkan elemen-elemen budaya seperti majlis rewang yang menyaksikan muafakat orang ramai menyiapkan hidangan buat tetamu seperti yang dapat dilihat di kebanyakan kampung di seluruh negeri.

"Demonstrasi upacara merisik dan meminang dilakonkan semula bagi memberi kefahaman kepada orang ramai khususnya golongan belia akan makna di sebalik perkara-perkara itu.

"Sebagai gerakan belia, kami berharap agar festival sebegini dapat menarik minat anak-anak muda mempelajari adat dan budaya mereka yang semakin dilupai.

"Walaupun penganjuran kali pertama ini kurang mendapat penyertaan pasangan-pasangan pengantin, kami percaya lebih ramai anak muda akan memilih berkahwin dalam festival ini pada masa akan datang," jelas Syahrin.

Memandangkan majlis tersebut memetik konsep 1Malaysia, pelbagai persoalan timbul adakah kaum-kaum lain dibenarkan menyertai majlis itu memandangkan fokus penganjur adalah terhadap perkahwinan Melayu sahaja.

Jelas Noraniza, perkahwinan kaum lain hanya dipaparkan menerusi demonstrasi sahaja tetapi pihak penganjur terbuka untuk menerima penyertaan kaum lain pada masa akan datang.

"Manfaat yang diterima kaum lain adalah mereka dapat merasai bagaimana adat perkahwinan kaum Melayu, tetapi ia tidak akan melibatkan pernikahan dan penyatuan mereka sebagai suami isteri boleh dilakukan secara berasingan mengikut agama masing-masing.

"Insyaallah tahun depan kita akan menjalankan majlis ini di dua negeri iaitu Johor dan Pahang, mengikut perancangan, festival akan datang akan melibatkan kerjasama jabatan agama negeri membabitkan kursus perkahwinan agar ia lebih menyeluruh," ujar Noraniza yang yang bertindak selaku pengerusi festival.

Penutup festival itu diisi dengan Konsert Masyhur 1Malaysia menyaksikan persembahan lagu-lagu tradisional oleh Noraniza sendiri serta pertandingan nyanyian yang disertai empat finalis bagi merebut hadiah wang tunai RM3,000.

Full content generated by Get Full RSS.

Mercu tanda maritim Singapura

Posted:

Mercu tanda maritim Singapura

Mercu tanda maritim Singapura


GAHARUDIN (kiri) dan Narayanasamy tidak pernah menganggap bekerja di Rumah Api sebagai tugas yang membebankan.


BERDIRI menghadap arah selatan Singapura ialah sebuah rumah api yang berbatu granit putih. Fungsi rumah api yang berusia lebih daripada 150 tahun itu bukan calang-ca lang. Ia memberi panduan kepada ribuan kapal untuk memasuki kawasan pantai di republik itu.

Pelabuhan kota Singa itu sememangnya dikenali sebagai pelabuhan yang tersibuk. Meskipun kapal dagang yang keluar masuk bergantung kepada sistem navigasi yang sofistikated yang diimplemenkan di pelabuhan itu, Rumah Api Raffles atau Raffles Lighthouse kekal sebagai lokasi mercu tanda maritim yang paling penting di situ.

"Bekalan elektrik boleh mati pada bila-bila masa tetapi rumah api sentiasa ada.

"Visual bantuan seperti rumah api, petunjuk dan boya masih lagi relevan dalam memberi amaran kepada kapal-kapal yang berlabuh di pantai dan di kawasan cetek," kata Juruukur Perairan, Maritim dan Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura, Parry Oei.

Memberi signal

Menyingkap sejarah rumah api di Singapura, pengasasnya merupakan seorang rakyat British yang bernama Thomas Stam ford Raffles. Bangunan granit itu berukuran 29 meter tinggi dan didirikan di sebuah pulau yang dinamakan Pulau Satumu pada tahun 1855.

Satumu jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ia disebut sebagai pulau satu pokok.

Kekal sehingga hari ini, tujuan pembinaannya adalah untuk memberi amaran kepada kapal-kapal seperti kehadiran terumbu karang dan beting pasir. Selain itu, rumah api tersebut berfungsi untuk memberi syarat kepada kemunculan kapal yang membawa minyak mentah. Untuk kes seperti ini, penjaga rumah api akan menunjukkan tanda kon pada hari-hari biasa dan mengeluarkan pancaran cahaya putih pada waktu malam.

Untuk rekod, kerajaan Singapura mengawal kemasukan 28.4 juta TEU iaitu ukuran kepada kapasiti kandungan atau bekas pengangkutan ke pelabuhan negara itu.

Pada tahun 2010 sahaja, republik itu telah menerima ke masukan lebih daripada 503 juta tan kargo. Jadi, tidak hairanlah sekiranya pelabuhan tersebut dinobatkan sebagai salah satu pelabuhan yang unggul dan hebat di dunia.


RUMAH Api Raffles atau Raffles Lighthouse yang berukuran 29 meter tinggi diasaskan oleh rakyat Thomas Stamford Raffles.


Bagaimanapun, pada peringkat permulaan iaitu ketika zaman kolonial pelabuhan itu biasa-biasa saja.

Terpahat dalam lipatan sejarah Singapura, para pedagang dan kelasi-kelasi diriwayatkan telah menulis satu petisyen pada tahun 1836 kepada pihak berkuasa Singapura untuk membina rumah api di Selat Singapura.

Pulau Satumu dicadangkan kerana kedudukannya yang strategik. Pandangan itu diambil kira tetapi hanya kira-kira dua dekad kemudian iaitu pada 24 Mei 1854 pada ulang tahun Ratu Victoria, kerja-kerja pembinaan dimulakan. Pada 1 Disember 1855 ia beroperasi sepenuhnya.

Pada asalnya, rumah api itu dikuasakan dengan sumbu yang dikendalikan oleh tujuh penjaga rumah api. Namun, kini ia menggunakan kuasa solar untuk menjana tenaga suria bagi menghidupkan lampu-lampu halogen kuarza yang berputar dalam petunjuk.

Transformasi teknologi itu menyaksikan daripada tujuh, cuma terdapat dua penjaga rumah api yang mengawal kemudahan itu. Namun, prasarana itu adalah rahsia yang tidak boleh didedahkan ataupun ditunjukkan kepada awam.

Hanya pekerja dan para penyelidikan terumbu karang yang diberikan akses untuk itu.

"Kita mengekalkan rumah api, menjaga kapal-kapal yang lalu lalang, berkomunikasi dengan Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan.

"Rumah api ini sudah ibarat rumah saya sendiri," kata salah seorang penjaga rumah api itu, Narayanasamy Manikaveloo, 48, yang sudah setahun berkhidmat di situ.

Pada waktu malam, kapal-kapal yang sejauh 20 batu nautika dari Rumah Api Raffles sudah dapat melihat tiga cahaya putih setiap 20 saat yang dikeluarkan oleh petunjuk.

Rumah-rumah api ini dibezakan dengan bentuk, warna dan ketinggian pada hari-hari tertentu. Warna cahaya dan pancarannya pada waktu malam pula mematuhi piawaian yang telah ditetapkan di peringkat antarabangsa.


PENJAGA rumah api yang menempatkan seorang lelaki di atas menara masih diperlukandi rumah api ini.


Meskipun operasi Rumah Api Raffles dimulakan sejak tahun 1988 dan diawasi sepenuhnya dari tanah besar, penjaga rumah api yang menempatkan seorang lelaki di atas menara masih diperlukan.

Suasana sepi

Peranan kepada tugas ini amat penting kerana seorang penjaga menjadi rujukan memandu arah ketika kawasan selat sibuk dipenuhi dengan kapal-kapal yang datang dari seluruh pelosok dunia.

Pada tahun 1970-an, Gaharudin Abd. Gani berkata, dia hanya duduk di bangku di luar kawasan rumah api melihat kalau-kalau ada bahaya yang menjelma di kawasan laut menggunakan binokular saja.

Katanya yang sudah 23 tahun bekerja sebagai penjaga rumah api, pada waktu malam, persekitaran di situ sunyi sepi.

"Ia sangat menakutkan, kita hanya memandang sesama sendiri," kata Narayanasamy pula.

Kerja seperti ini tidaklah membebankan sangat, kata mereka.

Pada masa lapang, adakalanya petugas-petugas ini menonton perlawanan bola sepak di saluran-saluran Singapura atau Indonesia, membaca buku, memancing atau menanam pokok di taman berhampiran.

"Bekerja di sini sangat tenang dan rileks tetapi jika bekerja di kota Singapura, ia menyebabkan kita selalu terburu-buru," kata Gaharudin sambil menikmati makan malam. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Ketuhar cetus minat Ivy buat kek

Posted:

Ketuhar cetus minat Ivy buat kek

Ketuhar cetus minat Ivy buat kek

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my


IVY kini menjadikan kek cawan sebagai sumber pendapatan.


SEMASA membeli rumah di Bangsar, Kuala Lumpr Ivy Boucher baru tahu rupa-rupanya dapur di rumah itu mempunyai ketuhar. Namun, dia bukanlah seorang yang gemar membuat dan membakar kek atau biskut.

"Jadi, saya bawa juruteknik untuk memeriksa ketuhar itu dan mendapati ia masih dalam keadaan baik," ujarnya.

Justeru, juruteknik itu menasihati Ivy untuk menghidupkan ketuhar itu selama sejam setiap minggu supaya ia tidak rosak dan kekal dalam keadaan baik. Tetapi Ivy pula berpendapat, daripada dia membazir elektrik dengan menghidupkan ketuhar tanpa menggunakannya, dia bercadang untuk membakar kek.

"Saya membeli buku pertama mengenai resipi kek pada tahun 2005 semata-mata kerana tidak mahu menghidupkan ketuhar itu secara sia-sia," kata Ivy.

Saat itu ternyata telah mengubah hidupnya. Kini, dia bukan sahaja membakar kek dan berbangga dengan kek signatur beliau iaitu kek cawan, malah dia mendapat permintaan yang kerap daripada rakan-rakan dan kenalan. Bahkan, Ivy berjaya menerbitkan sebuah buku menghias kek cawan dengan menjalin kerjasama dengan syarikat penerbitan, Utusan Publications and Distributors (UP&D).

"Pada awalnya, saya bakar kek untuk suka-suka pada setiap hujung minggu. Rakan-rakan saya di pejabat menunggu ketibaan hari Isnin kerana saya akan bawa kek itu ke tempat kerja. Kebetulan, pada waktu yang sama, saya diberhentikan kerja dari sebuah agensi pengiklanan kerana mereka waktu itu mengecilkan operasi. Jadi, saya dinasihati rakan-rakan untuk menerima tempahan kek untuk majlis-majlis keraian sebagai penyambung dan sumber pendapatan," kata Ivy.

Trend kak cawan

Pada masa yang sama, kek cawan pula menjadi trend dan Ivy tidak teragak-agak untuk menghadiri beberapa kursus diploma membakar kek, membuat figura haiwan, bunga-bungaan dan aising diraja yang banyak membantunya memperkayakan hiasan kek cawan.

Pada tahun 2006, Ivy sudah mula membuat kek cawan. Pada masa yang sama, beliau menjadi antara blogger terawal di Malaysia yang tampil dengan blog khas untuk kek cawan. Menerusi blognya juga, Ivy dipancing untuk menghasilkan bukunya, Cupcakes by Ivy oleh salah seorang kakitangan yang bertugas di UP&D.


BUKU ini adalah buah tangan daripada Ivy yang minat membuat kek cawan.


"Saya dihubungi seorang wanita, katanya dari Utusan. Selepas melihat blog dan cara saya naratif, dia mengajak saya untuk menerbitkan buku. Tanpa teragak-agak, saya terus setuju dan kami memulakan kerja-kerja untuk penerbitan buku itu pada tahun 2008."

Pengalaman mengujakan

Mengakui atas beberapa alasan, bukunya agak lewat diterbitkan, Ivy berkata, dia bagaimanapun gembira melihat hasilnya yang sudah mula berada di pasaran sejak awal tahun ini.

Ujarnya, walaupun pernah berkhidmat dalam bidang pengiklanan, Ivy merasakan pengalaman beliau menertbitkan buku bersama pihak UP&D agak mengujakan. Di samping itu, ia juga banyak mengajar perkara berkaitan penerbitan dan penulisan skrip.

Berikutan kejayaan menerbitkan buku pertamanya, Ivy memberitahu, dia berhasrat untuk mengeluarkan buku kedua tetapi kali ini membabitkan cara-cara membuat figura dua dan tiga dimensi untuk hiasan kek cawan.

"Ia sekadar harapan sahaja. Berbekalkan pengalaman untuk buku pertama, saya lebih yakin untuk mengeluarkan buku kedua," katanya yang banyak merujuk kepada buku-buku resipi dan hiasan kek dari luar negara serta penulis-penulis lain.

Sambil menunjukkan beberapa figura haiwan yang disediakan untuk salah satu kek tempahan khas, Ivy berkata, seseorang itu pastinya perlu memiliki kesabaran dan keghairahan yang tinggi untuk membuat figura-figura ini serta hiasan di atas kek cawan.

"Ia adalah figura kecil dan memerlukan anda membuat kerja-kerja terperinci. Sememangnya, ia memakan masa terutama sekali untuk proses pengeringan dan memastikan ia berada pada tekstur yang sepatutnya. Tetapi selepas siap, segala usaha memang berbaloi," katanya.

Segala maklumat lanjut mengenai kek dan tempahan boleh diperoleh melalui blog Ivy, d-cupcakes.blogspot.com.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved