Khamis, 29 September 2011

Kosmo Online - Varia


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Varia


Lima sekawan urus acara

Posted:

Lima sekawan urus acara

Lima sekawan urus acara

Oleh ADLAN JAAFAR


PADA Ramadan lalu, OneHeart Solution mengadakan aktiviti amal dengan membikin klip video mengenai kebaikan bulan puasa.


SEGALA-GALANYA bermula apabila lima orang sahabat tahun akhir pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sebagai pelajar yang aktif dengan aktiviti kokurikulum seperti Majlis Perwakilan Pelajar, Kelab Maaruf dan Persatuan Kejuruteraan memberi pendedahan kepada mereka menguruskan sesebuah majlis.

Menyedari mereka memiliki pengalaman, seorang pelajar itu pasti akan berkira-kira tentang masa hadapan. Sebaik sahaja tamat pengajian, mereka menubuhkan OneHeart Creative Solution.

OneHeart dimiliki oleh Ahmad Huzaifah Ahmad Shahrir, Suhairil Izham Suroya, Nur Shahidat Mohamed, Hidayatul Karimah Mohd. Mahyuddin dan Ahmad Taufiq Iqbal Abd. Rani.

Lebih gemar memanggil 'bayi' baharu mereka itu sebagai OneHeart, syarikat tersebut menjadikan pengurusan majlis dan pembekal perkhidmatan teknikal sebagai perniagaan utama.

Kesemua mereka berumur 24 tahun kecuali Izham yang berusia 25 tahun. Selain itu, mereka juga mampu menyediakan 30 orang pekerja separuh masa yang terdiri daripada rakan-rakan dari UIAM bergantung kepada situasi.

Selepas yakin dengan keputusan yang dibuat, mereka pun duduk bersidang di salah sebuah bilik kuliah di UIAM bagi membincangkan konsep dan idea syarikat yang bakal beroperasi itu.

Menurut Huzaifah, suasana perbincangan sekitar bulan Februari 2010 itu persis sekumpulan pelajar sedang mengadakan perbincangan dalam kumpulan.

Hasil mesyuarat itu, mereka berjaya mengadakan sebuah konsep yang terdiri daripada nama syarikat dan logo yang telah diguna pakai sehingga kini.

"Sasaran pertama kami waktu itu adalah menghebahkan kewujudan kami di laman sosial Facebook. Ideanya adalah jika seorang daripada kami mempunyai kira-kira 2,000 kenalan maka sudah 10,000 orang mengetahui OneHeart," terang Huzaifah ketika ditemui di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Tanpa modal


DARI kiri: Taufiq, Huzaifah, Shahidat, Hidayatul dan Izham merupakan tulang belakang OneHeart Solution.


Huzaifah yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif OneHeart mengakui memulakan perniagaan tanpa memiliki sebarang modal permulaan amat sukar.

"Cuma pengalaman dan pengetahuan sahaja yang dijadikan sebagai bekalan kami. Malah, ibu bapa kami juga tidak menaruh kepercayaan," luah Huzaifah yang turut sama diakui ahli yang lain.

Namun, tatkala mereka menganjurkan majlis bertajuk, Seminar Buat Duit Cara Mawardee pada bulan Mac lalu, kepercayaan orang ramai mula meningkat.

Tambah Shahidat, Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 anjuran akhbar Kosmo dan Daisy yang berlangsung selama sebulan pula benar-benar mencabar tahap kemampuan OneHeart tetapi ia amat berbaloi.

"Kesannya, ibu bapa kami yang skeptikal pada peringkat permulaan sudah menaruh kepercayaan dan langkah kami seterusnya lebih yakin," ujar wanita yang bertugas sebagai Eksekutif Komunikasi OneHeart.

Sehingga kini, perniagaan mereka bukan sahaja memfokus kepada pengurusan majlis tetapi telah berkembang dengan menyediakan perkhidmatan lain seperti fotografi, rakaman suara dan kedai buku secara talian.

Pada bulan Jun lalu, kelima-lima anak muda itu sudah boleh melakukan kerja-kerja pengurusan syarikat dengan lebih selesa apabila sudah berpindah ke premis tetap dengan keluasan ruang kira-kira 46 meter persegi.

Meskipun sudah boleh dikatakan sudah berada di kedudukan yang selesa tetapi ujar Karimah, mereka perlu meletakkan OneHeart sebagai keutamaan. Terutama apabila ia melibatkan pengurusan wang dan keuntungan.

"Kami mempunyai satu amaun gaji yang diterima setiap bulan tetapi tidak semestinya tetap setiap bulan. Apabila tiba bulan yang kurang mendapat projek, gaji mungkin tidak diberi tetapi elaun dalam jumlah yang kecil menjadi pengganti," terang Karimah yang menjaga kewangan syarikat. Walaupun baru setahun OneHeart ditubuhkan, mereka amat bersyukur kerana sehingga kini akan ada projek yang perlu dilaksanakan.

"Kami sedang berbincang dengan sebuah syarikat yang berpusat di United Kingdom untuk menguruskan sebuah acara anjuran di sini," terang Huzaifah.

Jelasnya, syarikat itu sedang dalam perancangan untuk mengadakan acara jelajah dunia, Young Entrepreneur Summit (YES) di beberapa destinasi dan Malaysia adalah salah satu lokasinya.

Bidang videografi


HUZAIFAH dan Taufiq (kanan) meneliti hasil kerja di pejabat mereka yang terletak di Batu Caves, Selangor.


Kelak, jika ia terlaksana dan kerjasama itu terjalin, OneHeart akan menguruskan majlis tersebut seluruhnya daripada pengurusan sehingga kepada menyediakan pentas dan alatan audio. Acara yang berbentuk seminar yang dirancang akan diadakan di Kuala Lumpur itu bakal diadakan pada bulan Disember ini. Selain itu, Huzaifah menambah, dalam bidang videografi pula pihak OneHeart bakal mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan, Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk membuat rakaman video.

"Video tersebut akan dimuatkan dalam blog mereka sebagai salah satu interaktif baharu yang lebih dikenali sebagai vlog (video blog). "Perbincangan sudah mencapai 80 peratus tanda persetujuan dan kami berasa amat bertuah kerana bakal berjumpa dengan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad," ujarnya dengan wajah yang teruja. Beliau ialah salah seorang daripada tetamu undangan yang akan muncul dalam blog IRM itu.

Pesta membakar 2,500 lemang

Posted:

Pesta membakar 2,500 lemang

Pesta membakar 2,500 lemang


PESTA membakar lemang bakal menjadi acara tahunan di Pekan, Pahang.


JIKA penduduk Negeri Sembilan mengadakan pesta memantai bergotong-royong menyembelih haiwan ternakan setiap kali perayaan, berbeza pula di Pekan, Pahang apabila masyarakat di negeri itu membakar beribu batang lemang.

Lemang yang dibakar pula memiliki rasa yang seimbang antara lemak santan dan masin garam, bertambah enak apabila dicicah bersama rendang daging tradisi Pahang.

Bertempat di gugusan Felda Chini dekat Pekan, Pahang baru-baru ini, sebanyak 2,500 batang lemang dibakar serentak di atas bara api sepanjang lebih 30 meter.

Untuk menyiapkan 2,500 lemang tersebut, sebanyak 1,000 biji kelapa digunakan untuk diambil santannya, manakala beras pulut pula sebanyak 750 kilogram.

Bermula dengan menebang, memotong, membersihkan buluh, membilas beras pulut, memerah santan sehingga proses membakar lemang, semua dilakukan secara bersama oleh penduduk felda tersebut sejak pagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun yang menganjurkan pesta lemang itu berkata, sekurang-kurangnya 2,000 batang lemang dibakar dalam acara itu pada setiap tahun.

"Dalam kegiatan kemasyarakatan seperti ini, kita lebih mengutamakan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat dan ia berupaya menggalakkan orang ramai supaya menjalin perpaduan yang lebih bermakna.


ACARA membakar lemang dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk di Pekan, Kuantan dan Rompin, Pahang.


"Ia menjadi sesuatu (acara) yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat di sini pada setiap kali penghujung musim perayaan Aidilfitri," kata beliau.

Meskipun kawasan membakar lemang kelihatan bara api menyala-nyala dan bahang api menggigit kulit, namun ia sedikit pun tidak menghalang penduduk untuk meneruskan aktiviti mereka.

Acara yang diselaraskan dengan konsep rumah terbuka itu bukan sahaja dimeriahkan oleh 2,000 penduduk di sekitar Chini, malah turut dihadiri oleh penduduk dari daerah-daerah berhampiran seperti Rompin dan Kuantan.

Lemang yang siap dibakar pula dimakan terus ketika masih panas oleh para pengunjung dan sebahagiannya pula dihidang dalam majlis rumah terbuka yang diadakan pada keesokan harinya.

Menurut seorang peneroka, Majid Mat, 48, acara sedemikian juga bukan bertujuan untuk makan-makan sahaja, bahkan dapat menyemarakkan semangat bekerjasama dalam kalangan masyarakat.

"Golongan muda-mudi belasan tahun pada hari ini kebanyakannya sudah tidak gemar acara bermasyarakat seperti ini walaupun ada juga belia yang hadir tetapi tidak ramai.

"Sebilangan mereka (belia) mungkin terlupa, acara seperti ini sebenarnya menjadikan kita saling mengenali dan bantu membantu tanpa mengira usia dalam hidup bermasyarakat," katanya. - SHAHRULANOOR ISHAK

Susu kultur Yakult lebar pasaran ke Sabah

Posted:

Susu kultur Yakult lebar pasaran ke Sabah

Susu kultur Yakult lebar pasaran ke Sabah


PENDUDUK di Sabah kini berpeluang menikmati minuman kesihatan Yakult sejak dipasarkan di negeri itu baru-baru ini.


MINUMAN kesihatan paling popular di benua Asia dan di seluruh dunia, susu kultur Yakult Ace kini melebarkan sayapnya ke Sabah.

Minuman yang mencecah jualan 30 juta botol sehari di 32 buah negara itu juga sudah berada di pasaran negeri di bawah bayu itu sejak 23 September lalu.

"Produk tersebut boleh didapati di semua 16 buah pasar raya Giant di Sabah termasuk 13 buah pasar raya di Kota Kinabalu dan sebuah pasar raya masing-masing di Tawau, Sandakan dan Semporna.

"Satu pek dengan 5 botol Yakult Aceisipadu 80ml sebotol dijual pada harga RM4.99," kata Pengarah Jualan dan Pemasaran Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. Hiroshi Hamada dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Yakult, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd.

Hamada menjangkakan, jualan minuman tersebut akan mencecah sebanyak 2,000 botol sehari atau 60,000 botol sebulan sebaik dilancarkan. Beliau juga menganggarkan jualan mencecah 5,000 botol sehari atau 150,000 botol sebulan dalam masa lima tahun akan datang.

Dilancarkan di Semenanjung Malaysia sejak tahun 2004, Yakult Ace kini popular dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa, jualannya kini mencecah 250,000 botol sehari pada tahun 2011 di Semenanjung Malaysia sahaja. Selain Yakult Ace, minuman susu kultur versi kurang gula, Yakult Ace Light juga boleh didapati di Semenanjung.

Bagaimanapun, hanya produk Yakult Ace sahaja akan dipasarkan di Sabah buat masa ini.

Kesihatan usus

Menyentuh perancangan masa depan Yakult untuk meluaskan pasaran di Sabah dan Sarawak, Hamada mengulas: "Kami berbesar hati dapat menembusi pasaran di Sabah dan bekerjasama dengan pasar raya Giant.

"Kami ingin mengembangkan jenama kami setapak demi setapak dan berharap dalam masa lima tahun akan datang ini, Yakult dapat dinikmati oleh semua pengguna di Sabah dan Sarawak."

Kini menduduki tempat kedua tertinggi peratusan syer dalam pasaran susu kultur, Hamada yakin Yakult dapat menduduki tempat pertama dalam masa tiga tahun akan datang.

Sementara itu, Pengurus Perhubungan Awam dan Sains Yakult (M) Sdn. Bhd., Mazlyn Mena berkata, amalan minum minuman Yakult dapat meningkatkan kesihatan usus dan pertahanan badan terhadap penyakit.

"Strain Shirota iaitu probiotik di dalam minuman Yakult membantu menjaga dan melancarkan pergerakan usus, mengelakkan sembelit, cirit-birit dan keracunan makanan.

"Ia berfungsi meningkatkan bilangan bakteria baik dan mengurangkan bakteria berbahaya dalam usus kita," katanya.

Selain usus, probiotik juga mempunyai kesan positif pada sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus dan bakteria.

Kajian-kajian jangka panjang juga telah menunjukkan amalan mengambil Yakult mengurangkan risiko beberapa jenis kanser termasuk kanser usus besar, kanser pundi kencing dan kanser payudara. Faedah-faedah kesihatan ini telah terbukti secara saintifik melalui banyak kajian-kajian termasuk di negara-negara Jepun, Eropah dan Asia sepanjang 75 tahun lalu.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved