Ahad, 25 September 2011

Kosmo Online - Stailo


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Stailo


Iktiraf pesona mutiara hitam

Posted:

Iktiraf pesona mutiara hitam

Iktiraf pesona mutiara hitam

LEILA Luliana da Costa Vieira Lopes bukanlah wanita berkulit hitam pertama dimahkotakan gelaran Ratu Cantik Universe.

Acara berprestij yang masuk ulang tahun ke-60 yang berlangsung di Sao Paolo, Brazil awal September lalu telah merakam sejarah bahawa Lopes adalah wanita berkulit hitam keenam yang berjaya memiliki mahkota itu.

Lopes yang dilahirkan pada 26 Februari 1986 di Benguela, Angola merupakan seorang pelajar jurusan pengurusan perniagaan di Britain. Dia dimahkotakan gelaran Ratu Cantik Angola United Kingdom (UK) pada Oktober tahun lalu.

Dia kemudiannya memenangi gelaran kedua iaitu Ratu Angola 2011 dalam sebuah acara yang diadakan dua bulan kemudiannya di Luanda. Dalam pertandingan berkenaan, dia turut memenangi anugerah Ratu Fotogenik.

Pada kemenangannya meraih mahkota Ratu Cantik Universe tersebut, mahkota tersebut disarungkan oleh bekas ratu terdahulu iaitu Ximena Navarrete dari Mexico.

Selain merupakan wanita berkulit hitam keenam yang memenangi gelaran berkenaan, Lopes adalah wanita pertama dari Angola yang pernah memegang gelaran di pertandingan ratu cantik berprestij tinggi itu.

Sebagai rekod, Lopes ialah wanita Afrika pertama yang memenangi mahkota tersebut di milenium baharu.

Memiliki mahkota Ratu Cantik Universe semestinya membuktikan bahawa pemiliknya mempunyai sesuatu yang lebih berbanding 88 peserta lain yang mengambil bahagian.

Lopes memenangi hati juri melalui jawapan yang diberikan kepadanya ketika sesi temu bual personaliti bersama hos pertandingan, Andy Cohen dan Natalie Morales mengenai kekurangan fizikal yang ingin diubahnya.

"Saya bersyukur kepada tuhan kerana diciptakan sebegini dan saya tidak akan mengubah rupa saya.

"Saya dikurniakan kecantikan dalaman yang saya warisi daripada nilai-nilai murni yang diterapkan oleh kedua-dua ibu bapa saya dan saya akan amalkannya sehingga akhir hayat saya," katanya.

Lopes sememangnya sudah mengangankan mahkota Ratu Cantik Dunia sejak kecil. Dia juga gemar membaca dan menyukai kosmetik.

Lopes berada di hadapan pemenang tempat kedua, iaitu Ratu Ukraine, Olesia Stefanko dan pemenang tempat ketiga, Priscila Machado dari Brazil.

Wanita Pertama Angola, Ana Paula turut berbangga dengan pencapaian Lopes.

"Leila sememangnya ratu kami dan semua wanita Angola berasa seperti ratu dunia. Ia sebuah penghargaan yang tinggi kepada kami untuk berada di sana di dalam pertandingan yang disertai oleh lebih 80 orang wanita dari seluruh dunia, dengan sikap yang berbeza, kepelbagaian budaya dan agama. Dan mereka memilih Angola," ujarnya bangga.

Potensi wanita Afrika


LOPES (paling kanan) mempunyai kecantikan yang tidak dapat dinafikan namun tetap terpalit kontroversi selepas kemenangannya.


Sejarah wanita berkulit hitam mewarnai arena Ratu Cantik Universe mula diukir oleh Evelyn Miot dari Haiti yang menjadi wanita berkulit hitam pertama berjaya sampai ke peringkat separuh akhir pada tahun 1962.

Ratu Curacao, Anne Marie Braafheid pula menjadi pemegang gelaran ratu paling berjaya ketika itu.

Pada tahun 1968, dia mencipta beberapa rekod dalam pertandingan Ratu Cantik Universe. Braafheid menjadi peserta kulit hitam kedua berjaya menduduki senarai lima finalis dan yang berjaya mendapat tempat kedua dalam pertandingan berprestij itu.

Pada tahun berkenaan, mahkota Ratu Cantik dunia dimenangi oleh Martha Vasconcellos dari Brazil.

Bagaimanapun, pesona si 'mutiara hitam' tetap tidak dapat dinafikan. Wanita berkulit hitam pertama yang dimahkotakan gelaran Ratu Cantik Universe ialah Janelle Commissiong yang berasal dari Trinidad dan Tobago pada tahun 1977 dalam acara yang dipertandingkan di Santo Domingo, Republik Dominica.

Margaret Gardiner dari Woodstock, Afrika Selatan pula mengikut jejak langkah Commissiong dengan merangkul gelaran Ratu Cantik Universe tahun 1978 ketika berumur 18 tahun. Dia menerima mahkota daripada Commissiong pada acara yang diadakan di Acapulco.

Gardiner kini bekerja sebagai wartawan cetak dan televisyen di Los Angeles dan telah berkahwin dengan seorang profesor dari UCLA, Andre Nel.

Selang 13 tahun, mahkota Ratu Cantik Universe sekali lagi menjadi milik peserta kulit hitam pada tahun 1992. Michelle McLean yang dilahirkan pada tahun 1972 di Namibia dimahkotakan gelaran itu ketika berusia 19 tahun. Dia ialah satu-satunya wanita dari Namibia yang pernah memenangi gelaran itu.

Enam tahun kemudian, Wendy Fitzwilliam dari Trinidad dan Tobago memenangi mahkota Ratu Cantik Universe pada tahun 1998, diikuti Mpule Kwelagobe dari Botswana yang dinobatkan sebagai juara pertandingan itu pada tahun 1999 dalam acara yang diadakan di Chaguaramas, Trinidad dan Tabago.

Kontroversi Lopes


KEYAKINAN Lopes mencuri hati juri untuk memilihnya sebagai Ratu Cantik Universe ke-60.


Gelaran hebat lazimnya hadir dengan prasangka. Begitu juga dengan Lopes yang baru beberapa minggu menyandang gelaran Ratu Cantik Universe dan mengecapi impiannya. Wanita dengan senyuman manis itu tiba-tiba menjadi subjek tuduhan berunsur fitnah untuk menjatuhkannya. Betapa berat dakwaan itu, memang mampu memperjudikan status yang dimilikinya jika terbukti benar.

Akhbar di Argentina iaitu Infobae menuduh Lopes mendapat pertolongan seorang lelaki bernama Charles Mukano untuk bertanding di dalam pertandingan Ratu Angola United Kingdom (UK) walaupun tinggal di Angola. Cara itu dikatakan melanggar undang-undang pertandingan.

Mukano juga dituduh merasuah juri Ratu Angola UK untuk memastikan Lopes menang dan membantunya mendapatkan dokumen bagi membuktikan dia sedang mengikuti pengajian pengurusan perniagaan di English University.

Kemenangan dalam pertandingan itu membolehkan Lopes menyertai pertandingan Ratu Cantik Universe. Justeru, sekiranya dakwaan berkenaan benar, Lopes kemungkinan terpaksa memulangkan gelaran yang telah dimahkotakan kepadanya.

Club-K yang merupakan sebuah penerbitan Portugis turut menyiarkan artikel mengenai tuduhan sama termasuk kisah pemahkotaan Lopes sebagai Ratu Angola pada tahun 2010.

Menurut artikel itu, dua sumber tidak dikenali menuduh berlakunya perbuatan khianat berhubung pertandingan tersebut.

Ratu Perancis pula percaya Lopes tidak layak dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Universe berdasarkan laporan yang ditulis oleh Angel Libby di dalam laman web Style & Beauty.

Laury Thilleman berkata demikian kerana 'terganggu' dengan sikap Lopes yang didakwa tidak menyenangkan, kekurangan dari segi personaliti dan tidak mempunyai cita rasa fesyen. Dia mengadu Lopes tidak pandai bersosial.

"Dia satu-satunya peserta yang saya tidak begitu kenal. Kami tidak banyak bergaul dengannya. Ada sesuatu yang tidak kena dengannya.

"Dia juga sering memakai jean dan tidak mengenakan solekan. Kami semua terkejut dengan kemenangannya sedangkan peserta lain bekerja keras tetapi tidak diberi penghargaan sewajarnya," katanya.

Dia juga percaya sebab utama Lopes menang ialah pertandingan berkenaan diadakan di Brazil.

"Fakta bahawa pertandingan ini diadakan di Brazil pasti menjadi salah satu sebabnya," katanya yang menduduki kedudukan 10 finalis manakala Ratu Brazil berada di kedudukan tiga teratas.

Juri Ratu Dunia, Lea Salonga memberikan maklum balasnya dengan mengatakan para peserta dan orang awam harus menghormati keputusan juri kerana mereka telah membuat penilaian paling adil.

"Kami diamanahkan untuk menghakimi para peserta berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Saya tidak faham mengapa kekecohan berlaku selepas pertandingan ini berakhir.

"Semua orang haruslah menghormati keputusan juri. Saya berpegang teguh dengan keputusan yang telah dibuat," tegasnya.

Menteri Media Angola, Carolina Cerqueira berkata, kemenangan Lopes menunjukkan kecantikan dan potensi yang dimiliki rakyat Angola mampu mengatasi halangan serta cabaran di dalam hidup mereka.

"Sekiranya Lopes kehilangan tahkta itu, ia akan menyebabkan kesedihan yang besar kepada rakyat Angola, kerana di negara Afrika, masyarakatnya amat menganjungi ratu cantik yang lahir di negara ini," kata Cerqueira.

1Malaysia di pentas fesyen

Posted:

1Malaysia di pentas fesyen

1Malaysia di pentas fesyen

Pereka fesyen tempatan, Carven Ong menyokong program Gagasan 1Malaysia menerusi rekaan fesyen moden dan klasik.


CARVEN ONG (paling depan, kanan) menerima jambangan bunga daripada Pengurus Kanan Promosi dan Perhubungan Awam, gedung Sungei Wang, KK Lim, selepas pertunjukan Fesyen 1Malaysia.


NAMPAKNYA Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendapat sambutan dan reaksi positif daripada pelbagai pihak. Program tersebut diperkenalkan antara lain bagi memupuk semangat patriotik dan menyemai kasih sayang sesama masyarakat. Secara tidak langsung membuka mata dunia bahawa Malaysia kekal makmur dalam sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Lebih membanggakan, pada hari ini semangat 1Malaysia yang semakin giat dilaksanakan bukan saja ditonjolkan dalam bentuk kempen, aktiviti mahupun lagu. Kini, ia diterjemahkan menerusi fesyen.

Ternyata ia langkah bijak memandangkan fesyen merupakan salah satu medium terbaik mengajak pencinta fesyen terutamanya golongan muda supaya lebih menghargai warisan dan kesenian negara.

Ini terbukti apabila pereka fesyen tanah air, Carven Ong bersama akademi fesyennya melunaskan tanggungjawab mengadakan pertunjukan fesyen bertemakan Fesyen 1Malaysia.

Tambah menarik, di pentas peraga berkenaan, para penonton bukan sekadar berpeluang melihat enam pasang busana koktel anggun dan berwarna-warni ciptaan Carven Ong. Khalayak juga teruja menyaksikan koleksi pakaian hasil kreativiti 18 orang pelajar dari Carven Academy of Fashion.


CARVEN ONG (empat dari kiri) diapit barisan model yang memperagakan koleksi Fesyen 1Malaysia ciptaannya.


Pada persembahan fesyen berkenaan barisan model profesional mengatur langkah sambil memperagakan busana moden yang menerapkan kesenian setiap etnik di Malaysia.

Misalnya, blaus berpotongan seksi di bahagian belakang yang lazimnya digayakan bersama pario atau seluar telah dipadankan dengan kain batik sarung rona terang. Ini termasuklah kombinasi korset nuansa merah dan kain bermotifkan batik.

Inovasi itu jelas menunjukkan kain batik bukan sekadar pakaian di rumah tetapi ia antara pelengkap gaya menarik untuk menghiasi persada fesyen semasa.

Selain menggunakan fabrik songket, batik, renda Perancis dan sifon, Fesyen 1Malaysia tampil unik dengan penggunaan fabrik sutera Cina serta kain sari.

Bagi menyuntik pembaharuan, salah seorang pelajar cuba menghasilkan gaun malam yang diperbuat daripada kain sari warna firus. Motif yang yang sarat pada kain sari berkenaan sudah memadai sehingga tidak memerlukan pereka menghiasi gaun dengan taburan manik ataupun labuci.


PAKAIAN kasual jejaka yang bersesuaian dengan cuaca di Malaysia.


"Saya berbangga melihat kreativiti dan keberanian para pelajar menghasilkan pakaian 1Malaysia yang cantik dan mempesonakan. Siapa sangka, kesenian mahupun signatur setiap etnik di Malaysia sudah mampu memberi idea terbaik kepada pelajar untuk menghasilkan fesyen yang mengagumkan.

"Di samping itu, saya berharap pentas pertunjukan Fesyen 1Malaysia ini menjadi platform buat mereka untuk bersiap sedia sebelum melangkah ke industri fesyen yang sebenar," jelas Carven Ong, mengenai koleksi Fesyen 1Malaysia yang turut menonjolkan rekaan kaum India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak.

Dari aspek warna, rata-rata pelajar cenderung menggunakan palet warna bumi dan warna pelangi. Mereka menyifatkan bahawa rona coklat, kuning keemasan, merah, hijau dan jingga begitu ideal membaluti tubuh masyarakat tempatan tidak kira golongan lelaki ataupun wanita.

Zarrieff mencipta nama

Posted:

Zarrieff mencipta nama

Zarrieff mencipta nama


SELAIN perunding hiasan dalaman secara bebas dan mereka pakaian, Zarrieff turut berbakat menghasilkan sepatu.


LEMBARAN tahun 2011 pastinya menjadi kenangan manis buat pereka fesyen Zarrieff Nasir, 23. Sementara segelintir pereka pelapis baharu sedang berusaha mencari platform terbaik untuk bertapak dalam industri fesyen tanah air, langkah Zarrieff pula sebaliknya.

Peluang mereka busana buat Datuk Siti Nurhaliza dalam program bual bicara Siti yang disiarkan menerusi saluran Astro, secara tidak langsung membuatkan kehadiran Zarrieff mula disedari.

Sinarnya semakin terserlah apabila graduan Ijazah Rekaan Fesyen dari Universiti Middlesex, London itu berpeluang mempromosi koleksi fesyennya di pentas peraga utama, seperti Festival Fesyen Stylo Grand Prix KL 2011.

Lebih mengujakan, selain menawarkan koleksi pakaian di butiknya, Zarrieff Nasir kini galak mempromosi busananya di butik The Twelve, gedung Fahrenheit 88, Kuala Lumpur di bawah gerai Young Designers Arena (Yoda).

Mengapa bidang fesyen menjadi pilihan sedangkan pada asalnya anda meminati aliran seni rekaan dalaman?

Sejak menuntut di sekolah menengah, saya menanam impian untuk bergelar pereka hiasan dalaman memandangkan saya memang meminati dekorasi, kekemasan dan rekaan perabot. Namun, keluarga menyarankan saya menuntut dalam bidang rekaan fesyen kerana melihat industri pakaian menjanjikan skop yang meluas dan menarik.

Sebab itu, selain mereka pakaian saya juga sibuk menjadi perunding hiasan dalaman.

Keistimewaan koleksi fesyen Zarrief Nasir?

Setiap pereka mempunyai kelebihan dan signatur rekaan tersendiri begitu juga saya. Jika diperhatikan saya selesa menghasilkan rekaan moden seperti gaun malam, dres koktel, blaus dan jaket.

Dari segi pilihan fabrik saya gemar bereksperimen dengan pelbagai jenis kain berbanding terhad pada sejenis kain saja.

Lazimnya, pereka fesyen tempatan lebih cenderung mereka busana wanita tetapi nampaknya anda selesa menghasilkan pakaian buat wanita dan jejaka. Mengapa?

Bagi saya golongan jejaka kini semakin bijak bergaya dan menitikberatkan aspek penjagaan diri. Jadi saya fikir, sudah tiba masanya saya berusaha menghasilkan himpunan pakaian lelaki yang bersesuaian dengan personaliti dan cuaca di Malaysia.

Bagaimana trend fesyen jejaka di luar negara?

Mereka cukup terbuka dan bersahaja tatkala berfesyen. Keyakinan diri menyarungkan seleksi pakaian tanpa memikirkan tentang pandangan orang lain wajar diberi pujian.

Ceritakan pengalaman manis sepanjang menuntut di luar negara?

Terlalu banyak pengalaman menarik yang dikutip di sana terutamanya ilmu fesyen yang sukar dicari di sini. Maklumlah, trend fesyen biasanya bermula dari negara Barat. Pengalaman menjalani ibadah puasa dan beraya di luar negara antara pengalaman pahit yang saya alami tetapi ia bertukar menjadi manis apabila keluarga sanggup terbang setiap tahun untuk beraya bersama saya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved