Rabu, 7 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Marsupial comel kegilaan remaja

Posted:

Marsupial comel kegilaan remaja

Marsupial comel kegilaan remaja

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

COMEL, lincah dan aktif. Demikian rangkai kata yang terpacul di mulut saat melihat haiwan kecil persis tupai yang menjadi kegilaan pencinta haiwan peliharaan eksotik masa kini.

Haiwan berbulu lembut yang manja berpaut di bahu seorang remaja itu digelar sugar glider. Kalau dibawa ke kawasan umum, ia pasti mencuri tumpuan khalayak, malah tidak hairan jika ada yang datang mengerumuni seolah-olah mahu mendekati 'selebriti'.

Sugar Glider atau nama saintifiknya Petaurus Breviceps merupakan haiwan marsupial kecil yang boleh ditemui di Australia, Tasmania, Indonesia dan Papua New Guinea.

Ia mendapat namanya kerana sifatnya yang menggemari makanan manis dan mempunyai membran peluncur menyamai tupai terbang.

Kemasukan haiwan nokturnal ini di Malaysia bermula sekitar awal tahun 2000 dan semakin mendapat tempat di hati pencinta haiwan sejak ia dipaparkan dalam rancangan dokumentari popular baru-baru ini.

"Sugar glider ini merupakan haiwan sosial dan memerlukan penjaganya meluangkan masa melayaninya selama tiga hingga empat jam sehari.

"Jika dibiarkannya tanpa belaian, haiwan ini akan sunyi dan akhirnya akan mencederakan dirinya dengan menggigit ekornya, bulu di perut dan kemudian memakan isi perutnya sendiri walaupun telah diberi makanan mencukupi," kata Mohd. Shaiful Akmal Salman, 32, yang merupakan pembekal aksesori dan pembiak baka sugar glider.


PEMILIK sugar glider perlu bersedia dengan maklumat mengenai penjagaan kesihatan, tempat tinggal dan juga dietnya.


Tambah anak kelahiran Muar, Johor itu, jika seseorang pemilik haiwan itu terlalu sibuk, mereka disarankan membela sepasang sugar glider bagi mengelakkan haiwan tersebut kesunyian.

"Jangan anggap memiliki sugar glider ini sebagai satu trend kerana ia memerlukan komitmen daripada penjaganya.

"Mudah dijaga atau tidak, itu terpulang kepada seseorang individu itu sendiri. Sekiranya seseorang itu rajin, tabah, sabar dan pandai mengatur jadualnya, maka penjagaan sugar glider ini mudah sahaja," ujarnya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan melibatkan marsupial itu.

Buat persediaan

Tambah Shaiful, sebelum seseorang itu mahu menjadikan sugar glider sebagai haiwan peliharaan, perkara wajib yang perlu dilakukan ialah mengumpul maklumat mengenainya terlebih dahulu sebagai persediaan.

Selain mempunyai pengetahuan asas tentangnya, seseorang itu perlu tahu cara memilih sugar glider yang sihat, menyediakan sangkar setinggi tiga kaki, kantung tidur, permainan, botol air dan makanan khas.

"Haiwan yang unik dari aspek penjagaannya ini mempunyai banyak variasi warna. Paling lazim dibela orang adalah daripada jenis Classic Grey kerana ia murah dan mampu milik iaitu antara harga RM250 hingga RM350 seekor," ujar penuntut jurusan sains perubatan di Management and Science University (MSU) itu.

Antara variasi lain sugar glider ialah White Faced (RM2,500), White Faced Blonde (RM3,000), Ring Tail (RM7,500), Mosaic (RM7,500), White Mosaic (RM10,000), Creameino (RM15,000), Albino (RM15,000) dan Leucistic (RM15,000).

Tempoh bunting sugar glider mengambil masa selama 16 hari dan apabila lahir, anaknya akan tinggal di kantung ibunya (In Pouch) kira-kira dua bulan dan putus susu dua bulan selepas keluar kantung.

Anak sugar glider atau dipanggil `Joey' boleh dipisahkan daripada ibunya seawal dua bulan selepas keluar dari kantung ibunya (Out Of Pouch) tetapi sebaik-baiknya pada umur tiga bulan selepas keluar dari kantung.

Tempoh kematangan seksual bagi sugar glider adalah berbeza tetapi secara purata, sugar glider betina matang pada umur lapan bulan ke atas dan sugar glider jantan pada umur empat bulan ke atas.

Haiwan yang mempunyai jangka hayat selama 10 hingga 15 tahun itu membiak dua hingga tiga kali setahun mengikut musim. Ia biasanya menghasilkan seekor hingga dua ekor anak paling minimum dan empat ekor paling banyak.


HAIWAN eksotik ini aktif pada waktu malam.


Pemakanan seimbang

"Walaupun haiwan ini menyukai makanan yang manis, ia juga mempunyai diet khas yang tersendiri.

"Pemakanannya harus seimbang dengan mengambil kira nutrisi seperti protein (30-50 peratus), buah-buahan (20-30 peratus), sayur-sayuran (40 peratus) dan karbohidrat (15 peratus)," katanya sambil diet tersebut dibantu pemberian suplemen wombaroo protein tinggi (HPW).

HPW adalah diet yang paling senang untuk disediakan dan ia merupakan diet yang paling hampir menyerupai pemakanan sugar glider di dalam hutan.

Katanya, ramai yang tidak mengambil berat tentang pemakanan sugar glider sehingga menyebabkan haiwan kesayangan mereka itu sakit dan menghidapi masalah kesihatan seperti obesiti, katarak, buta, lumpuh kaki belakang dan jangkitan kuman.

Seorang peminat sugar glider, Shakirin Rahmat, 27, sehingga hari ini sudah berhabis RM3,000 demi haiwan kesayangannya.

Shakirin yang sudah dua tahun bertemankan sugar glider mula berminat terhadap haiwan tersebut apabila melihat foto rakannya dan sejak itu dia mula mencari maklumat mengenai haiwan tersebut selama setahun sebelum haiwan itu disunting menjadi 'buah hati'nya.

Percubaan pertamanya memelihara sepasang sugar glider berakhir dengan kisah sedih apabila kedua-duanya hilang gara-gara membela tanpa sangkar.

"Sejak itu saya lebih berhati-hati. Nak menjaganya mudah, sediakan sangkar yang sesuai dan luangkan masa bersamanya. Apabila kita sudah rapat, sugar glider ini akan kenal tuannya melalui bau dan tidak mahu dengan orang lain.

Merajuk

"Baru-baru ini, Chillue (nama sugar glider miliknya) berpaut pada badan saya dengan menaiki motosikal dari Damansara untuk pergi ke rumah Shaiful di Shah Alam.

"Setibanya di rumah Shaiful, Chillue merajuk kerana ada sugar glider lain pada masa itu. Ketika mahu pulang ke rumah, Chillue melompat daripada badan saya kerana merajuk," imbas Shakirin.

Hampir dua jam dia mencari-cari kelibat haiwan kesayangannya itu. Puas dicari di bawah kereta, motosikal dan di kawasan lapang sehingga dia hampir putus asa.

"Langkah terakhir, saya letakkan bonding pouch miliknya di atas jalan raya supaya dia pulang. Selepas hampir satu jam menunggu, saya terlihat ada sesuatu bergerak datang menghampiri kantung tersebut.

"Alangkah terkejutnya saya apabila menemui Chillue dalam keadaan kesejukan dan menggigil. Tanpa berlengah, saya terus berlari mendapatkannya," ujarnya yang mahu menjadi pembiak baka sugar glider pada masa akan datang.

Shakirin yang pernah membawa Chillue di dalam bonding pouch (kantung khas) ke kampungnya di Ipoh dengan menaiki motosikal memberitahu, haiwan cilik itu mula aktif bermula pukul 11 malam hingga pukul 8 pagi.

"Ia akan membuat bunyi bising seperti salakan anak anjing jika tuannya tidak mengeluarkannya dari sangkar untuk diajak bermain," ujarnya yang turut memberi haiwannya itu diet buah-buahan seperti betik, tembikai susu dan epal.

Begitupun sugar glider tidak menolak sebarang makanan yang diberikan, terdapat makanan yang tidak boleh diberikan kepada haiwan tersebut seperti coklat kerana ia boleh menjadi toksin kepadanya.

Kemelut pendidikan tinggi Amerika

Posted:

Kemelut pendidikan tinggi Amerika

Kemelut pendidikan tinggi Amerika


KEMELESETAN ekonomi sejak tiga dekad lalu mengubah gaya hidup rakyat AS.


PENINGKATAN mendadak yuran pengajian di Amerika Syarikat (AS) menjadi masalah serius dalam kalangan pelajar dan penduduk di negara itu yang kini berdepan krisis ekonomi terburuk sejak 1930-an.

Dalam tempoh sebulan yang lalu, pengurusan Universiti Michigan mengumumkan peningkatan yuran pengajian sebanyak tujuh peratus, Universiti Oklahoma menaikkan yuran sebanyak 4.8 peratus dan Universiti Nebraska pula sebanyak lima peratus untuk kemasukan pelajar-pelajar baharu.

"Kos yuran pengajian meningkat pantas berbanding kos-kos lain dalam eknomi negara ini, malah ia lebih pantas berbanding kos penjagaan kesihatan, kadar inflasi dan pendapatan keluarga," kata Pengasas National Center for Public Policy and Higher Education, Patrick Callan.

"Apa yang kita lalui dalam kemelesetan ekonomi hari ini ialah peningkatan trend yang berlaku sejak tiga dekad lalu menyebabkan kos itu terpaksa ditanggung oleh rakyat."

Kemarahan rakyat terhadap pemotongan bajet pendidikan menyaksikan berlakunya tunjuk perasaan pada Mac dan April lalu. Situasi itu jelas memberi tekanan kepada golongan pelajar yang kini bergelut dalam menangani beban kewangan yang kian bertambah.

Situasi yang sama turut dirasai seorang penuntut baharu di Universiti Middle Tennessee, Natalie Papini. Menurut penerbitan online, Inside Higher Ed, pengurusan universiti itu telah mencadangkan peningkatan yuran pengajian dan kemasukan sebanyak 9.8 peratus tahun ini.

"Saya berpendapat peningkatan ini tidak akan berhenti begitu sahaja. Ia akan terus meningkat pada masa-masa hadapan dan tidak akan turun," kata Papini yang mendapat tawaran beberapa biasiswa namun, lebih rela membuat pinjaman buku-buku teks berbanding membelinya sendiri.

"Kami tidak akan membuka alat pemanas pada musim sejuk nanti untuk menjimatkan wang dan kami juga tidak akan memandu ke mana-mana sekiranya tidak perlu," katanya kepada AFP.

Daripada lebih 2,000 universiti yang menawarkan kursus ijazah di AS, terdapat pelbagai kadar yuran yang ditawarkan, kata ahli ekonomi kanan di Pew Research Center, Richard Fry kepada AFP.

Peningkatan pinjaman

Kadar terbaik yang ditawarkan setiap universiti, kebanyakannya terletak di negeri-negeri dan daerah yang jauh dari pusat bandar dengan kos mencecah antara AS$3,000 (RM9,000) hingga AS$9,000 (RM27,000) setahun.

Bagaimanapun, bagi universiti swasta dan yang berlokasi di kawasan urban, yuran pengajian yang dikenakan mencecah antara AS$21,000 (RM63,000) hingga AS$42,000 (RM126,000) setahun.

Sementara itu, terdapat kurang daripada dua peratus universiti yang mengenakan yuran pengajian melebihi AS$42,000 (RM126,000) setahun.

Menurut CollegeBoard, yang memantau trend di peringkat pendidikan tinggi, hanya terdapat satu pertiga dalam kalangan pelajar-pelajar sepenuh masa yang mampu meneruskan pengajian mereka tanpa menerima bantuan kewangan. Sebaliknya lebih ramai pelajar kini terpaksa membuat pinjaman untuk meneruskan pengajian mereka.

"Salah satu cara golongan sederhana untuk berhadapan dengan peningkatan yuran pengajian ini adalah melalui pinjaman.

"Tidak hairanlah, pinjaman yang melibatkan golongan ini meningkat mendadak. Sekiranya mereka melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi seperti sarjana, lebih banyak wang yang perlukan," kata Callan.

Menurut CollegeBoard, jumlah pinjaman pendidikan meningkat sebanyak 10 peratus antara tahun 2009 hingga 2010.

Data pada tahun 2008 pula menunjukkan sebanyak 61 peratus pelajar-pelajar daripada keluarga sederhana yang bergantung dengan pendapatan antara AS$60,000 (RM180,000) hingga AS$90,000 (RM270,000) mempunyai hutang pendidikan sekitar AS$17,000 (RM51,000).

Angka itu terus meningkat melibatkan institusi swasta yang tidak bersandarkan keuntungan di mana 75 peratus pelajar-pelajarnya mempunyai hutang pendidikan sekitar AS$21,000 (RM63,000).

Bagi kolej yang bersandarkan keuntungan pula, lebih 99 peratus pelajar-pelajarnya kini terbeban dengan hutang pendidikan sehingga AS$34,600 (RM103,800) seorang.

"Kebanyakan orang sudah mula bersuara: 'Adakah berbaloi belajar di tempat yang mahal atau adakah ia mampu memberikan pendidikan terbaik jika menuntut di sana nanti?'," katanya.

Berdasarkan kajian dilakukan Pew Research pada Mei lalu, sebanyak 57 peratus rakyat AS berpendapat sistem pendidikan tinggi di negara itu gagal memberikan pelajar dan keluarga mereka pulangan setimpal daripada wang yang telah dilaburkan.

"Walaubagaimanapun, adalah lebih baik memasuki kolej atau universiti terutama ketika krisis ekonomi yang melanda di mana kadar pengangguran dalam kalangan mereka yang bergraduasi adalah rendah berbanding mereka yang tidak bergraduasi," ujar Callan.

Sementara itu, Fry pula memberitahu yuran pengajian di kolej dan universiti masih tinggi disebabkan masyarakat bersedia membayarnya kerana lazimnya, peluang pekerjaan yang dijanjikan lebih cerah jika menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi yang mahal itu.

Bagaimanapun, kadar yuran pengajian yang tinggi menjadi halangan terhadap usaha negara itu mencapai kejayaan yang diidamkan. "Keseluruhan sistem ini menjadi bersusun lapis mengikut pendapatan," jelas Callan. – AFP

Kekal maskulin dengan Vaselin Men

Posted:

Kekal maskulin dengan Vaselin Men

Kekal maskulin dengan Vaselin Men

BAGi mengatasi masalah kulit wajah lelaki, Vaselin peneraju penjagaan kesihatan kulit buat julung-julung kalinya memperkenalkan rangkaian produk khusus, Vaselin Men.

Pengurus Jenama Kanan, Deodoran dan Kulit, Malaysia dan Singapura, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Ray Guinoo berkata, produk yang baharu dilancarkan itu mampu memenuhi keperluan lelaki yang menitikberatkan asas-asas penjagaan kulit.

Katanya, ia direka khas untuk memperkenalkan kaum lelaki kepada regim penjagaan kulit dua langkah mudah iaitu membersih dan melembap dalam tempoh masa 10 minit.

"Rangkaian Vaseline Men dicipta bagi menepati hidup kaum lelaki di samping membantu mereka menyerlahkan penampilan mereka, mempamerkan keyakinan dan menarik perhatian.

"Pendekatan dua langkah ringkas ini direka bagi membantu kaum lelaki mengamalkan penjagaan kulit di dalam rutin harian mereka untuk mendapatkan kulit yang sihat," katanya pada sidang akhbar pada program Vaseline Real Men Do It di Pullman Putrajaya Lakeside baru-baru ini.

Tambah Ray, asas penjagaan kulit, pembersihan dan pelembapan dengan produk yang betul adalah penting bagi lelaki.

Jelasnya, tekstur kulit lelaki adalah berbeza daripada kulit wanita, begitu juga kaedah penjagaannya di mana ia memerlukan rumusan penjagaan kulit yang khusus.

Sesuai dengan tema program yang diadakan, beberapa wakil media, selebriti seperti Fizo Omar, DJ dan penyampai televisyen, Joey G, turut diundang menikmati sesi santai bertujuan merasai sendiri keistimewaan Vaselin Men dalam ritual harian mereka.

Rangkaian Vaseline Men kini boleh didapati di semua farmasi dan pasar raya terkemuka di negara ini.

Ia dijual pada harga RM6.90 untuk skrub dan pencuci muka (50g), RM18.90 untuk pelembab (40ml), RM10.90 untuk cecair sabun badan (220ml) dan RM13.90 untuk losyen badan (250ml).

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved