Isnin, 5 September 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kudapan orang Kelantan

Posted:

Kudapan orang Kelantan

Kudapan orang Kelantan

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD

BERSIAP SEDIA dengan kertas yang digulung berbentuk kon di tangannya, kanak-kanak dari Tumpat, Kelantan itu kelihatan tidak sabar-sabar menanti etok yang telah dimasak untuk dimasukkan ke dalam kon itu.

"Saya buka kulit etok dengan gigi. Dua atau tiga kali seminggu saya mesti makan etok. Etok yang manis lebih sedap daripada yang masin, kak," ujar Nakib Asri, 12, bersungguh-sungguh dengan wajah kegirangan kepada penulis.

Dia bersama abangnya terus menikmati etok penuh berselera.

Sememangnya menjamah etok sebagai makanan ringan cukup sebati bagi penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang tanpa mengira peringkat usia. Sama ada sambil menonton televisyen, berkelah mahupun bersantai bersama rakan dan keluarga, kudapan itu umpama kuaci masyarakat tempatan.

Etok merupakan sejenis hidupan bercangkerang yang bersaiz wang syiling lima sen hingga 50 sen hidup dalam sungai. Isinya berwarna putih jernih enak dimakan apabila disalai dengan rempah. Ramuan istimewa itu biasanya menjadi rahsia pengusaha etok.


ETOK disental dengan tangan bagi memastikan selut tanah dan pasir hilang.


Meskipun cara membuka kulit etok bagi meratah isinya boleh membawa risiko gigi menjadi sumbing jika tidak dilakukan secara berhati-hati, ia bukan penghalang kepada peminat kudapan itu untuk menikmatinya.

Seorang suri rumah dari Kuala Krai, Kelantan, Sakila Mohd. Yusof, 29, mengakui membuka cengkerang etok agak mencabar bagi mereka yang belum biasa.

Harga mahal

"Bagi yang tidak biasa, membuka cangkerangnya memang sedikit mencabar tetapi hasilnya berbaloi. Saya makan etok sebab rasanya sangat sedap dan ia berkhasiat," ujarnya.

Tanpa disedari, timbunan etok di hadapan mata boleh dihabiskan dalam masa sekelip mata lebih-lebih lagi jika isinya pejal dan manis dengan aroma serai serta halia yang menusuk ke hidung.

Harganya juga agak mahal iaitu RM12 bagi secupak etok salai dan RM6 bagi satu leng atau setengah cupak. Namun, soal harga tidak menjadi rungutan kepada yang menggemarinya.

Zaman dahulu, etok dijaja dalam bakul yang dibawa oleh peraih wanita di atas kepala sambil mengelilingi kampung. Hari ini, penggemar etok boleh memperoleh kudapan tersebut di gerai-gerai tepi jalan sama ada di gerai-gerai yang menjual goreng pisang atau kuih-muih tempatan yang lain.

Orang lama dalam perusahaan etok salai, Awang Sayed Abdul Rahman, 63, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Daud dari Kampung Semat Jal, Tumpat, Kelantan berpengalaman menyalai dan menjual etok di sekitar bandar Kota Bharu.

Pak Su Daud yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Maimunah Deraman, 52, pernah mempunyai sehingga 14 buah gerai menjual etok di tepi jalan kerana sambutan yang menggalakkan sekitar tahun 1970-an.

Rempah istimewa


BAHAN perap dan garam dimasukkan sebelum etok disalai.


Pak Su Daud yang juga seorang pengamal perubatan tradisional berkata, berbanding hidupan air lain seperti kerang, etok adalah haiwan yang bersih kerana ia hanya makan lumut hijau. Etok juga hidup dalam sungai yang tidak tercemar dan mengalir sederhana.

"Etok adalah haiwan yang bersih dan jika kita amalkan makan isinya boleh merangsang dan menambah darah dalam badan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pak Su Daud berkata, rempah dan ramuan yang digunakan semasa memerap etok juga baik untuk kesihatan kerana ia merupakan bahan asli dalam masakan Melayu.

Sebelum diperap antara sejam sehingga enam jam bergantung kepada cita rasa penyalai etok, etok yang bersalut tanah sungai akan dibasuh dan dibilas berkali-kali sehingga air bilasan etok jernih.

"Secara umum, bahan perapan utama adalah serai, bawang putih, halia, ketumbar dan halba yang dikisar halus sebagai bahan untuk memerap etok mentah yang sudah dibasuh bersih.

"Selain itu ada juga bahan-bahan rahsia lain yang kami gunakan sebagai rencah istimewa, saya sendiri memasukkan enam lagi herba tradisional lain yang saya ilhamkan sendiri sejak dahulu," katanya yang mengunci mulut menyimpan rahsia ramuan istimewanya.


ETOK yang siap disalai dimasukkan ke dalam bakul.


Seorang pengusaha etok di Kampung Tasek Pauh, Pasir Puteh, Samsiah @ Minah Daud, 51, berkata, sungai sekitar kampungnya di Sungai Tasek, Pengkalan Pauh dan Tok Aje mempunyai etok bersaiz besar dan berwarna kuning. Ia merupakan etok berkualiti tinggi.

Samsiah berkata, pengutip etok yang terdiri daripada belia kampung akan turun ke sungai pada waktu pagi dan petang dan membawanya terus ke pintu rumah pelanggan tetap masing-masing.

Katanya, terdapat lebih 30 pengusaha etok yang majoriti terdiri daripada kaum wanita di kampungnya yang menyalai etok di rumah. Mereka menjual etok sama ada secara tetap atau sambilan di pasar tani dan pasar malam serta di merata-rata tempat.

Seorang lagi pengusaha etok, Suriani Zakaria, 29, pula berkata, kegiatan menyalai etok adalah pekerjaan turun temurun di kampung itu. Secara purata dia memperoleh antara RM200 sehingga RM400 setiap kali keluar berniaga di pasar.


PAK SU DAUD membalik-balikkan etok yang disalai supaya ia masak sama rata.


Ibu kepada lima orang anak itu bukan sahaja menyalai etok bahkan kadangkala turun sendiri mengharung sungai mengutip etok bersama kaum Adam.

Suriani berkata, masyarakat tempatan hari ini tanpa mengira peringkat umur cukup menggemari etok. Ini terbukti apabila jualan etok yang dibawanya antara lima hingga enam gantang setiap kali berniaga di pasar akan habis dalam masa kurang daripada tiga jam.

"Berniaga etok meskipun nampak meletihkan tapi hasilnya amat memuaskan, purata modal etok mentah adalah antara RM15 hingga RM20, tetapi kita boleh mendapat pulangan sehingga RM50.

Selain di Kampung Semat Jal dan Kampung Tasek Pauh, perusahaan etok di Kelantan juga boleh didapati di Kampung Laut, Tumpat dan kawasan Pasir Mas-Salor.

Walaupun etok kekal menjadi minat masyarakat Kelantan, namun Pak Su Daud sempat menyuarakan kebimbangannya.

"Saya mengharapkan bekalan etok mentah dari luar Kelantan terutama negeri Terengganu kerana hidupan itu sudah tidak banyak di sungai negeri ini akibat aktiviti mengorek pasir yang memusnahkan habitat dan pembiakan etok.

"Jika kegiatan mengorek pasir yang dijalankan di Sungai Kelantan dapat dihentikan buat seketika, hidupan ini akan dapat membiak semula dengan baik. Berilah peluang agar tradisi ini diteruskan," katanya penuh harapan.

Survival hidup tanpa wang

Posted:

Survival hidup tanpa wang

Survival hidup tanpa wang


SCHWERMER berjaya membuktikan bahawa tanpa wang dia juga mampu menjalani kehidupan seperti orang lain.


HEIDEMARIE SCHWERMER, 69, tidak pernah terfikir bahawa dia dapat pergi begitu jauh tanpa wang. Sesuatu yang dimulakan sebagai eksperimen selama 12 bulan kini telah menjadi satu gaya hidup unik 15 tahun selepas itu.

Dengan sedikit solekan, baju panas kapas berwarna merah jambu muda dan seutas rantai mutiara palsu, pesara yang kelihatan anggun itu memberitahu dia tidak dapat mengingat kali terakhir dia menggunakan wang.

Sejak tahun 1996, dia hidup dengan satu skim unik iaitu menggunakan sistem barter iaitu bertukar-tukar barang. Namun kehidupan yang dijalaninya tetap sempurna.

Apa yang pasti, Schwermer bukan seorang petapa keagamaan atau sebahagian komuniti tersebut, sebaliknya dia ialah warga urban yang hidup dalam jantung masyarakat yang materialistik. Pada masa yang sama, dia mengakui dirinya tiada apa-apa rancangan untuk menggunakan wang dalam menjalani kehidupannya.

"Mengabaikan wang memberi saya kehidupan yang lebih berkualiti, kekayaan dalaman dan kebebasan," katanya.

Pendatang asing


BUKU pertama Schwermer, The Star-Money Experiment dan DVD Living Without Money dokumentari yang mengisahkan kehidupan wanita tersebut tanpa wang.


Lahir pada zaman Perang Dunia Kedua di timur Rusia, Schwermer kanak-kanak yang menjadi salah seorang pendatang asing yang disingkirkan oleh kuasa-kuasa Rusia. Keluarganya yang papa kedana tiba di Jerman bersama ribuan pelarian yang lain.

"Saya tidak melihat diri saya seorang yang kurang atau tidak bernilai apabila tidak mempunyai apa-apa harta atau wang," katanya.

Pada lewat 1960, dia menghabiskan masa selama setahun di Chile dan mengakui dirinya berhadapan dengan kemiskinan yang melampau di sana.

Kembali ke Jerman, dia menjalani kehidupan bersama dua anaknya, berpisah dengan suami dan berpindah ke bandar raya Dortmund pada tahun 1982. Di bandar tersebut dia menjalankan bisnes psikoterapi.

"Saya mahu memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku dalam fikiran manusia. Tetapi itu tidak mencukupi, saya mahu lakukan lebih banyak untuk dunia ini," terang wanita itu lagi.

Idea tersebut muncul pada tahun 1994 untuk memulakan satu rangkaian tukar-menukar dalam kalangan mereka yang kekurangan tunai. Satu usaha yang menakjubkan kerana idea tersebut disambut baik dalam kalangan pesara dan pelajar.


PRIHATIN. Edelmut Voskamp (kanan) menyerahkan kentang merah dan kacang hijau segar yang ditanam di rumahnya kepada Schwermer.


Schwermer memulakan sistem pertukaran tersebut antara barang dengan barang bukan wang. Dalam usaha itu, dia dapat menjaga hampir kesemua keperluan materialnya tanpa perlu melakukan apa-apa yang sukar.

Pada tahun 1996, dia mengambil satu lagi keputusan. Dia berhenti kerja dan keluar dari rumah sewa, memberikan semua barangan yang dimilikinya kepada orang, menutup akaun bank, membatalkan insurans kesihatan dan hidup tanpa wang selama setahun tanpa wang.

Mereka yang dekat dengan wanita itu hanya berteka-teki dengan keputusan yang diambil oleh Schwermer. "Anak perempuan saya sangat risau. Rakan-rakan saya hampir menangis. Tetapi, sekarang mereka bersama saya, mengikut saya."

Menulis buku


SCHWERWER memotong rumput di halaman rumah yang didiaminya di Wilhelmshaven, utara Jerman.


"Saya memperoleh banyak wang melalui buku itu," dia memberitahu. "Saya memberikan semua duit itu kepada orang yang lalu lalang dan memberi wang kertas bertanda lima," katanya merujuk kepada mata wang Jerman pada masa itu.

Dia telah muncul di kaca televisyen, mengadakan seminar-seminar berskala sederhana dan pernah menjadi subjek dalam filem dokumentari.

Hari ini, Schwermer menyunting buku ketiganya di sebuah rumah di bandar raya pinggir laut utara Jerman, di Wilhelmshaven untuk sementara waktu. Sebagai balasan, dia membuang sampah dan membersihkan halaman rumput.

Schwermer memberi dirinya pencen sebanyak 700 euronya (RM2, 996) setiap bulan untuk diberikan kepada kenalan yang memerlukannya. Pada masa yang sama, dia menolak untuk memikirkan tentang usia emas atau mendapatkan nasihat doktor berkenaan kesihatannya.

Dia menemui sebuah kedai makan kesihatan di Dortmund yang memberi barang terbuang kepadanya. Di Wilhelmshaven, seorang rakan kadangkala membantu memberi sayur-sayuran dari tamannya kepada Schwermer. Jika perlu, dia sekali-sekala mencari bantuan dari dapur di sekitar.

"Sudah tentu saya agak bimbang apabila tiada apa-apa dalam peti sejuk," katanya. "Pada awalnya saya sangat takut dan bimbang sepanjang masa tetapi apa yang saya suka mengenainya tentang gaya hidup semasa ialah saya tidak perlu tahu apa yang akan berlaku esok."

Schwermer berkata, dia tidak mencari pengikut tetapi membantu orang lain memantulkan satu cara hidup dan hubungan mereka dengan yang lain.

Dalam masa dua bulan, dia akan mengeluarkan beg pakaian kecilnya yang akan menyimpan kesemua milik duniawinya menuju ke satu destinasi yang tidak diketahui. - AFP

Inovasi jam tangan Citizen

Posted:

Inovasi jam tangan Citizen

Inovasi jam tangan Citizen

Oleh NIZHA PERIASWAMY


PELBAGAI inovasi baharu yang kerap dihasilkan antara faktor yang menjadikan jam tangan ini cukup popular di seluruh dunia.


MALAYSIA disifatkan antara pasaran terbaik untuk memasarkan jam tangan mewah.

Sejak beberapa dekad lalu, jenama-jenama jam tangan antarabangsa muncul di pasaran tempatan sekali gus membuktikan betapa tingginya permintaan terhadap aksesori masa itu.

Harus diakui, jam tangan yang merupakan satu aksesori uniseks memberikan keterampilan yang profesional bagi seseorang.

Mereka yang memakai jam tangan diterjemahkan sebagai seorang yang berkedudukan tinggi, berkarisma, berpelajaran, mempunyai nilai etika dan dikatakan mempunyai disiplin yang baik.

Semua ciri-ciri itu menjadikan jam tangan dianggap satu elemen penting dalam kehidupan.

Mengulas lanjut mengenai pandangan itu, Pengarah Citizen Watches (Malaysia) Sdn. Bhd., Tadahiro Suzuki mengakui kenyataan tersebut.

Beliau bersetuju dengan fakta yang menyebut Malaysia merupakan antara negara yang memiliki pasaran penting dan terbaik untuk jam tangan mewah.

Teknologi Eco-Drive


TEKNOLOGI Eco-Drive diperkenal sejak tahun 1995.


Ujarnya, Malaysia merupakan negara ketiga terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura dan Thailand.

"Di sini (Malaysia) kamu melihat trend penggunaan jam tangan mengikut fesyen semasa.

"Selain dipengaruhi penjenamaan dan pengiklanan, mereka juga peka dengan apa yang dilihat dan diberitahu tentang produk jam tangan," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Koleksi Jam Tangan Baharu Citizen, Eco-Drive Super Titanium di ibu kota baru-baru ini.

Apakah kelainan yang dibawa oleh Citizen kali ini? Kata Suzuki, jenama dari negara matahari terbit sebenarnya sudah memperkenalkan beberapa variasi daripada elemen Eco-Drive.

Menariknya kali ini, ia menggunakan logam titanium yang dikatakan lebih ringan tetapi keras.

Suzuki menjelaskan, teknologi Eco-Drive dalam koleksi jam tangan yang terbaharu dan sebelum ini merupakan sebagai salah satu elemen futuristik yang diperkenalkan oleh Citizen.

Untuk rekod, elemen Eco-Drive oleh Citizen diperkenalkan kali pertama di pasaran pada tahun 1995. Ketika itu, jam tangan itu menggunakan tenaga cahaya sepenuhnya.

Teknologi itu kemudiannya dikembangkan kepada beberapa koleksi jam tangan dan yang terakhir ialah Eco-Drive Super Titanium dengan plating ion yang pernah digunakan dalam koleksi sebelum ini.

Tenaga kinetik


TEKNOLOGI Eco-Drive dalam koleksi jam tangan yang terbaharu dan sebelum ini merupakan sebagai salah satu elemen futuristik yang diperkenalkan oleh Citizen.


Ciri-ciri koleksi itu selain 40 peratus lebih ringan daripada besi tidak berkarat bahkan lima kali lebih keras daripada besi ialah kemampuannya menyerap cahaya semula jadi dan lampu menerusi dial untuk disimpan sebagai tenaga, kata Suzuki.

Selain itu, sel solar yang terdapat dalam jam ini akan mengubah tenaga yang disimpan kepada tenaga kinetik sekali gus menjana operasi jam tangan dalam suasana gelap sepenuhnya selama enam bulan.

"Ia memberi kredit kepada alam sekitar apabila jam tidak lagi memerlukan bateri," ujarnya.

Dengan ciri kalis air sehingga 10 bar iaitu 10 kali tekanan atmosfera dalam laut, model yang diperkenal dengan elemen kronograf itu juga mengekalkan masa seiring dengan fungsi pengiraan tempoh masa (stop watch).

Suzuki turut berkongsi satu lagi jenis jam tangan Eco-Drive Citizen lain yang menggunakan teknologi terhebat di dunia iaitu gelombang satelit.

Katanya, koleksi tersebut mampu mengesan signal satelit di mana sahaja seseorang itu berada. Ia akan memastikan jam tangan beroperasi tanpa henti walaupun pengguna jam tangan itu berada di Gunung Himalaya mahupun di Antartika.

Pada majlis pelancaran baru-baru ini, Citizen melancarkan 17 jenis Eco-Drive Super Titanium untuk tempoh dari bulan Julai hingga Oktober ini.

"Walaupun kelihatan agak kompleks tetapi ia mengekalkan ciri inovasi dan gaya seiring dengan keperluan pengguna, khususnya rakyat Malaysia.

"Memandangkan saya mendapati terdapat saingan untuk menawan pasaran di sini, tetapi saya percaya inovasi yang ditunjukkan Citizen dari semasa ke semasa dengan ciri mesra alam memudahkan Citizen diterima," ujar Suzuki yang turut memakai jam tangan Eco-Drive Citizen.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved