Rabu, 7 September 2011

Kosmo Online - Horizon


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Horizon


Panggilan rimba dan desa Melayu

Posted:

Panggilan rimba dan desa Melayu

Panggilan rimba dan desa Melayu

Oleh BASIR ABU BAKAR
basir.abubakar@kosmo.com.my

TERLETAK nun di utara negeri Selangor, Hulu Selangor mungkin kurang popular sebagai lokasi persinggahan untuk destinasi cuti-cuti.

Namun, jangan terkejut Hulu Selangor yang terletak 68 kilometer dari Kuala Lumpur atau sekitar 2 jam perjalanan jika menaiki kereta, mempunyai lebih daripada 14 lokasi menarik untuk dikunjungi.

Lokasi libur yang ada di sekitar Hulu Selangor antaranya ialah kawasan rekreasi Sungai Inki, Taman Millenium, Air Terjun Semangkuk, Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu (KKB), Santuari Ikan Kelah, Hutan Lipur Pelajaran Sungai Kedondong, Rumah Rehat Gap dan Kolam Air Panas Hulu Tamu.

Selain itu, turut terdapat di sini ialah Rumah Rehat Seri Berkat, Air Terjun Serendah, Kawasan Rekreasi Sungai Kedondong, Kolam Air Panas Kerling, Air Terjun Sungai Sendat dan Tapak Sukan Lasak, Kalumpang dan Taman Santai Strawberi Genting.

Hulu Selangor yang terletak di utara Lembah Klang dan berkeluasan 174,047 hektar menjanji lokasi libur yang pasti tidak membosankan sesiapa sahaja yang mahu merasainya.

Jemputan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyingkap sumber pelancongan daerah yang terbesar dari sembilan buah daerah di Negeri Selangor itu tidak dilepaskan Horizon.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, pelawaan tersebut disahut bagi membongkar 'ketulan emas' yang terpendam di daerah yang bersempadan dengan negeri Perak di utara dan Pahang di sebelah timur itu.

Lokasi pertama yang dituju ialah Teratak Riverview, Kampung Simpang Empat Dalam, Tanjung Malim yang telah beroperasi sejak dua tahun dahulu.


KAWASAN Teratak Riverview berdekatan Sungai Bernam merupakan tapak pembiakan semula jadi rama-rama dan tumbuhan flora yang jarang ditemui.


Disambut mesra oleh pemilik resort Teratak Riverview, Mohamad Noor Hakim Kassim, 55, kami difahamkan bahawa lokasi resort yang berhadapan dengan Sungai Bernam itu sangat unik kerana lengkap dengan calet kayu, jambatan gantung dan tempat perkhemahan.

Menurutnya, Teratak Riverview mula beroperasi sejak tahun 2008 dan terletak berhadapan dengan Sungai Bernam.

Tambahnya, pelbagai aktiviti yang menarik boleh dilakukan di sini antaranya program motivasi, program hari keluarga, meredah hutan, latihan berenang, jalan malam, memancing, rentas halangan, ekspedisi pacuan empat roda, berbasikal, kayak dan tubing.

"Selain menyediakan calet dan asrama, kami juga turut menyediakan sewaan bagi barang keperluan seperti ruang dapur dan khemah untuk kegunaan pengunjung yang mahu bermalam di sini," ujarnya.

Jelas Mohamad Noor Hakim, keindahan Sungai Bernam yang lebar dan jernih menyebabkan lokasi tersebut juga sering menjadi pilihan orang ramai untuk melakukan rentas hutan, berbasikal, motocross dan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk ke Air Terjun Lubuk Kawah.

"Air Terjun Lubuk Kawah masih tidak digazet oleh kerajaan sebagai lokasi pelancongan tapi, ia merupakan lokasi tumpuan bagi mereka yang meminati aktiviti ekstrem.

"Keindahan Lubuk Kawah sangat mempesonakan sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini dan membuatkan mereka terpukau," katanya.


HULU Selangor memiliki banyak sungai yang cantik dan indah sesuai untuk aktiviti libur seisi keluarga.


Air Banjaran Titiwangsa

Jelas Mohamad Noor yang mesra dengan panggilan Hakim, untuk ke Air Terjun Lubuk Kawah, masa yang diambil ialah dua setengah jam dengan berjalan kaki atau sejam dengan kenderaan pacuan empat roda jika bertolak dari Teratak Riverview.

Sementara itu, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Kemasyarakatan MDHS, Nurul Huda Ahmad Khairuddin memberitahu, Hulu Selangor mempunyai kepelbagaian lokasi pelancongan yang menarik dan masih jarang diterokai orang ramai.

Menurutnya, selain Sungai Bernam, lokasi yang turut dikunjungi rombongan pada lawatan kali ini Sungai Inki di Kalumpang, Kolam Air Panas Hulu Tamu dan Taman Santai Strawberi Genting.

"Lokasi menarik yang menjadi hala tuju kita hari ini ialah Sungai Inki yang terletak di Kalumpang. Di kawasan ini terletaknya Kalumpang Resort dan Training Center (KRTC).

"Resort yang berkeluasan 2.4 hektar terletak di kaki Bukit Kubah ini merupakan resort terkemuka dan pertama seumpamanya milik bumiputera di sini," terang Nurul Huda.

Menjelaskan lagi keistimewaan yang terdapat di Kalumpang, kedinginan air Sungai Inki yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa sebelum melalui resort berkenaan pasti menyeronokkan.

Kawasan itu turut dikelilingi pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, cempedak, nangka dan manggis yang menambahkan lagi keseronokan percutian anda di sana.

Kelah di Chiling

Sementara itu, lokasi seterusnya ialah air terjun Sungai Chiling yang menjanjikan persekitaran yang mendamaikan fikiran.

Selain terkenal dengan keindahan air terjun dan aliran jeram yang jernih ia turut mempunyai satu lagi tarikan iaitu kewujudan spesies ikan kelah yang mudah ditemui di celah-celah aliran jeramnya.

Kelebihan itu menjadikan kawasan perkelahan tersebut diiktiraf sebagai Santuari Ikan Sungai Chiling (sejak 2007) malah, ia merupakan habitat semula jadi ikan kelah yang terdekat untuk dikunjungi orang ramai sekitar Lembah Klang.

"Pengunjung hanya perlu membayar yuran masuk sebanyak RM1 di pejabat santuari lalu meneruskan perjalanan menuju ke air terjun utama yang memakan masa kira-kira satu jam.

"Semasa menyusur di tepi jeram itu, perhatikan kelibat ikan-ikan kelah yang bermain arus di celah-celah batu. Bagaimanapun, pelawat hanya dibenar melihat dan memberi makan. Memancing spesies kelah itu dilarang keras oleh Jabatan Perikanan," katanya.

Tambah Nurul Huda, larangan itu merupakan sebahagian daripada usaha pemuliharaan spesies kelah di kawasan tersebut.

Satu lagi destinasi menarik yang boleh dikunjungi di Hulu Selangor ialah Kolam Air Panas Hulu Tamu yang terletak di daerah di Batang Kali.

Jelas Nurul Huda, lokasi kolam itu yang hanya tujuh kilometer dari pekan Batang Kali atau satu jam pemanduan dari ibu negara.

"Sepanjang perjalanan ke kolam tersebut, pengunjung perlu meredah jalan kampung sejauh enam kilometer," ujarnya.

Sambil menikmati pemandangan suasana perkampungan Melayu seperti Kampung Genting Malik, Kampung Sungai Masin, Kampung Kuantan dan Desa Hulu Tamu membuatkan perjalanan dirasakan begitu singkat.

Sejurus tiba di destinasi, pengunjung sudah boleh melihat kepulan wap yang keluar dari permukaan kolam tersebut. Airnya yang tidak terlalu panas membolehkan pengunjung bersantai di dalamnya. Ada sebuah kolam kecil yang terletak tidak jauh dari situ.

Namun awas, suhunya yang agak tinggi (mencecah 60 darjah Celcius) barangkali hanya sesuai untuk merendamkan kaki.

Pelbagai kemudahan percuma telah disediakan oleh MDHS kepada pengunjung.

Mereka yang ingin mengurut kaki secara semula jadi, boleh cuba berjalan di trek refleksologi sejauh 250 meter yang disediakan.

Selepas ke kolam air panas kemudian rombongan kami meneruskan perjalanan ke sebuah tempat yang dingin dan nyaman di pertengahan bukit Genting Highlands iaitu sebuah ladang strawberi terbesar di Malaysia.

Petik sendiri

Perjalanan dari Batang Kali ke Taman Santai Strawberi ialah sejauh 33.8 kilometer. Taman Santai Strawberi atau Genting Strawberry Leisure Farms Sdn. Bhd. mula beroperasi pada Februari 2009.

Pengasasnya, KC Chung berkata, terdapat lebih 40,000 pokok strawberi ditanam pada 14 Februari 2009 di kawasan seluas 0.8 hektar itu.

"Pengunjung ke taman ini tidak dikenakan sebarang bayaran tapi ladang ini menggunakan konsep 'self picking' (petik dahulu bayar kemudian) kepada pengunjung yang memetik buah strawberi.

"Selain strawberi, buah markisa, anggur, tauge, bunga orkid, ros dan cendawan turut ditanam. Tidak ketinggalan sayur-sayuran gergasi yang baru diusahakan awal tahun ini," katanya.

Katanya, terdapat lebih 60 gerai menawarkan pelbagai jenis cenderamata, sebuah pentas terbuka untuk aktiviti mingguan dan restoran mini yang menyajikan pelbagai menu masakan perisa strawberi.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web www.mdhs.gov.my, teratakriverview.blogspot.com, www.kalumpangresort.com.my dan www.tourismselangor.my atau hubungi MDHS di talian 03-6064 1331.

Nostalgia trem Hong Kong

Posted:

Nostalgia trem Hong Kong

Nostalgia trem Hong Kong


RAMAI orang menganggap trem ini sebagai aset pelancongan.


IA bergoncang, bergegar dan terbuai-buai ketika bergerak di atas jalan raya di antara kereta-kereta hebat dan bangunan pencakar langit di sekelilingnya.

Ternyata, trem telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di Hong Kong sejak seabad lalu.

Dikenali sebagai ding-ding kerana bunyi yang dihasilkan locengnya, trem ikonik dua tingkat yang digemari para pelancong kini diraikan dalam satu pameran yang diadakan di bandar raya itu.

Bagaimanapun, bagi ribuan penggunanya di Hong Kong, ia tetap dianggap sebagai pengangkutan utama setiap hari.

Seorang pekerja pejabat, Eric Lee berkata, trem mempunyai tempat istimewa dalam hatinya. Tidak hairanlah, dia lebih selesa menggunakan trem berbanding pengangkutan awam lain yang menawarkan perkhidmatan pantas dan selesa, misalnya sistem keretapi bawah tanah.

Berhenti menangis

Kata lelaki berusia 26 tahun itu, dia sering menangis ketika dia masih kecil.

"Ibu membawa saya ke perhentian trem. Sebaik sahaja mendengar bunyi 'ding ding' saya akan berhenti menangis. Saya tidak boleh jelaskan kenapa, tetapi ia merupakan satu kenangan yang sukar dilupakan," ujarnya yang turut mempamerkan koleksi ciptaannya untuk sebuah pameran trem di Hong Kong.

Eric telah mencipta tempat merehatkan pergelangan tangan berbentuk trem bagi papan kunci komputer, menerbitkan buku bergambar trem dan mengubah suai trem menjadi kedai kopi sebagai sebahagian daripada 300 item yang dipamerkan dalam pameran yang berlangsung di Victoria Peak, iaitu sebuah lokasi tarikan pelancongan yang menghadap bandar dan pelabuhan bandar raya itu.

Bagaimanapun, tidak semua penduduk Hong Kong bergantung kepada sistem pengangkutan berusia 107 tahun yang dibina ketika era kolonial British itu.

Terus popular

Namun, dengan kadar HK$2.30 (RM0.90) untuk satu perjalanan meliputi 118 perhentian sepanjang trek sejauh 30 kilometer, trem itu terus popular.

Selain tambang yang murah, imbauan nostalgia pasti menyapa tatkala dihembus angin kota dingin daripada tingkap yang terbuka. Adakalanya, ia juga mampu menyebabkan para penumpang menggigil kesejukan.

"Ia telah menjadi sebahagian daripada Hong Kong dan warisan kam. Saya tidak dapat bayangkan apa akan jadi di pulau ini tanpa kehadiran trem," kata seorang penggubal undang-undang tempatan, Pan Pey Chyou.

Bagi pelancong British, Rupert Shield, 38, dia mendapati pengangkutan yang diberikan berbaloi dengan harga yang ditawarkan, kecuali ketiadaan penghawa dingin.

"Keadaannya agak panas dan sesak, namun anda pasti dapat melihat pemandangan yang menarik dari dek atas.


Pemandangan landskap kota yang menarik dapat dilihat dari dek atas trem.


"Saya terkejut kerana ia masih digunakan orang ramai selain daripada pelancong asing," katanya.

Di beberapa bandar raya di sekitar Eropah dan Amerika Utara, trem tidak lagi wujud sejak pertengahan abad ke-20 apabila ramai yang mengkritik sistem itu terlalu usang dan terdedah kepada kelewatan.

Bagaimanapun hari ini, di sesetengah bandar raya seperti Paris dan Auckland pendekatan berbeza telah dilaksanakan. Pentadbir kota tersebut giat memulih, meningkat dan memperluaskan sistem trem berkuasa elektrik sedia ada dalam usaha memulihara alam sekitar dan warisan berkenaan.

Syarikat utiliti gergasi Perancis, Veolia, yang mengambil alih pengurusan pengangkutan trem di Hong Kong pada 2009 sebelum menjadi pemilik mutlaknya pada 2010 telah menaik taraf sistem pengangkutan tersebut.

Lebih banyak tempat duduk yang selesa disediakan bagi memastikan warisan bersejarah itu terus relevan.

"Tiada siapa berani menyatakan ia akan kekal selama-lamanya. Namun, secara peribadi saya berpendapat sistem ini akan terus bertahan untuk tempoh jangka masa panjang," katanya.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved