Isnin, 12 September 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Nafi mahu kejar VIP

Posted:

Nafi mahu kejar VIP

Nafi mahu kejar VIP

RONI HIDAYAT RIDWAN

DI sebalik kebanjiran ramai pelakon-pelakon baharu yang mewarnai industri lakonan ketika ini, ternyata usaha pelakon Natasha Sheila Abd. Razak untuk menempatkan dirinya sebaris dengan pelakon-pelakon wanita yang lain dilihat semakin berhasil.

Baru sahaja bergelar artis selama dua tahun, namun pelakon yang lebih popular dengan nama Tasha Shila dengan pantas mencuri tumpuan ramai menerusi lakonannya yang memberi impak kepada penonton.

Boleh dikatakan tahun 2011 adalah tahun yang sememangnya memberi tuah kepada pelakon yang berasal Kuala Lumpur itu apabila namanya menjadi sebutan ramai, meskipun lebih dikenali menerusi watak antagonis.

Menurut pelakon jelita berusia 24 tahun itu ketika ditemui baru-baru ini, dia sangat bersyukur apabila namanya kini semakin menyerlah setelah dua tahun bergiat secara aktif dalam bidang lakonan.

"Memang tahun ini dilihat cukup bertuah buat diri saya apabila kehadiran saya dalam industri lakonan sudah mula disedari ramai pihak. Malah, tawaran berlakon juga semakin banyak yang diterima.

"Walaupun kerap membawakan watak yang dibenci penonton, namun saya tetap gembira kerana ia telah memberi impak yang positif sehinggakan saya semakin diterima di dalam industri ini," ujar anak sulung dari tiga beradik itu.

Menurut pelakon yang pernah membintangi filem Ratu The Movie itu lagi, sememangnya dia tidak menyangka apabila pantas mengecap populariti biarpun baru dua tahun bergelar anak seni.

Jelasnya, memandangkan industri lakonan sekarang ini dibanjiri dengan kehadiran ramai pelakon-pelakon baharu, dia sendiri bertekad untuk lebih fokus dalam karier yang diceburinya.


NAMA Tasha Shila kini melonjak naik dengan berkat kerja keras.


"Boleh dikatakan pelakon-pelakon baharu yang muncul sekarang ini memang ramai yang berbakat. Sebab itu saya mahu lebih serius agar kehadiran saya dalam dunia lakonan terus diterima peminat.

"Meskipun terpaksa bersaing dengan pelakon-pelakon lain yang lebih hebat dan berbakat, tetapi saya anggap itu sebagai satu persaingan sihat. Malah, ini yang membuatkan saya perlu berusaha dengan lebih keras lagi," ujarnya.

Pada masa yang sama, Tasha juga menafikan sekeras-kerasnya tohmahan segelintir pihak yang mengatakan dia menceburi bidang lakonan kerana mahu mengejar cinta golongan berstatus VIP dengan berbekalkan wajah yang cantik.

Ujar Tasha, dia sedar tohmahan sebegitu pasti akan dihadapi pelakon baru sepertinya, namun dia tetap bertegas bahawa pembabitannya dalam bidang lakonan adalah semata-mata kerana minat yang begitu mendalam serta mahu membantu menambah pendapatan keluarga.

"Memang saya tidak nafikan pernah mengenali ramai golongan yang berstatus VIP ini. Itu pun disebabkan saya pernah bekerja selama beberapa tahun di sebuah butik jenama terkenal sebelum bergelar pelakon.

"Kalau saya mahu, sudah tentu sejak dari dahulu lagi sudah saya lakukan. Namun, langsung tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk mencari kesenangan dengan jalan yang mudah," jelasnya.

Jadi penyanyi

Meskipun bakatnya dalam bidang lakonan dilihat semakin menyerlah, tetapi pelakon jelita berkenaan meluahkan yang dia sebenarnya lebih berminat untuk menjadi penyanyi suatu masa dahulu.

Jelasnya lagi, ramai peminat yang tidak tahu bahawa dia pernah menjalani uji bakat rancangan realiti Akademi Fantasia pada musim ketiga dan ketujuh. Bagaimanapun, rezeki ternyata tidak menyebelahinya untuk menjadi salah seorang peserta dalam rancangan tersebut.

"Kalau dahulu apabila ditanya sama ada saya berminat untuk menjadi pelakon atau penyanyi, memang saya akan memilih untuk menjadi penyanyi. Sebelum ini, saya juga mendapat tawaran untuk merakamkan single, tetapi ia senyap begitu sahaja.

"Sekarang ini saya tak sangka pula sekarang rezeki saya lebih terarah ke bidang lakonan. Apa pun saya tetap berpuas hati dengan apa yang dikecapi dan saya berharap dapat berdiri setanding dengan pelakon-pelakon popular lain," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia masih berminat untuk bergelar seorang penyanyi, Tasha menjelaskan impiannya menjadi penyanyi tidak pernah padam. Cuma dia merasakan buat masa ini biarlah bakat seni yang ada ditumpukan kepada berlakon sahaja.

Ujarnya, sebagai seorang pelakon baharu dia tidak harus terlalu terburu-buru untuk mencuba bidang seni yang lain dan lebih baik sekiranya dia menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman tentang selok-belok dunia lakonan.


LAKONANNYA dalam drama Ramadan Terakhir yang ditayangkan sepanjang Ramadan lalu cukup memberi impak positif kepada dirinya.


"Lagipun saya ingin buktikan kepada semua orang yang saya memang mampu untuk menjadi seorang pelakon yang bagus. Saya tidak mahu orang membuat persepsi negatif dengan mengatakan saya berlakon macam kayu dan hanya bergantung kepada paras rupa untuk menjadi pelakon," tegasnya.

Solo

Dengan memiliki paras rupa menawan dan pastinya menjadi idaman serta rebutan ramai lelaki, sudah tentu Tasha turut ditebak dengan persoalan mengenai gerangan siapakah jejaka yang sudah bertakhta di hatinya ketika ini.

Meskipun kalau dilihat adalah sesuatu yang tidak mustahil buat dirinya untuk mendapat jodoh di kalangan lelaki kacak dan kaya, apa yang menariknya Tasha mengakui dia kini tidak mempunyai teman lelaki.

"Mungkin ada yang tidak percaya saya masih lagi solo, namun itulah hakikat sebenarnya. Apatah lagi dengan jadual lakonan saya yang terlalu sibuk membuatkan saya belum terfikir untuk menjalinkan hubungan percintaan.

"Ini bukanlah disebabkan saya terlalu memilih sangat dan meletakkan kriteria tertentu kepada mana-mana lelaki yang cuba mendekati saya. Malah, saya sendiri tak kisah kalau ibu saya mahu mencarikan lelaki yang sesuai untuk saya," jelasnya.

Biarpun menyatakan dirinya sanggup menerima lelaki atas pilihan keluarga, tetapi buat masa ini dia masih belum memikirkan tentang tempoh untuk mendirikan rumah tangga dan mahu mengejar cita-citanya terlebih dahulu iaitu bergelar pelakon yang berjaya.

Sinar FM tawar duit raya RM70,000

Posted:

Sinar FM tawar duit raya RM70,000

Sinar FM tawar duit raya RM70,000


PARA petugas Sinar FM bersama para pemenang peraduan Perkataan Pertama yang dianjurkan pada Mac lalu.


EKORAN sambutan yang amat menggalakkan terhadap peraduan Perkataan Pertama anjuran Sinar FM pada Mac lalu, stesen muzik retro terbaik ini kembali mengadakan kempen yang menawarkan hadiah duit raya RM70,000 kepada pendengar.

Mulai 5 September lalu sehinggalah 30 September nanti, setiap Isnin hingga Jumaat, kempen Perkataan Pertama Kembali menemui para pendengar. Untuk memenangi sekurang-kurangnya RM300, peminat-peminat muzik retro akan diuji sama ada benar-benar mengenali dan menghafal lirik lagu yang menjadi kegemaran mereka. Lagu-lagu tersebut pastinya tidak asing bagi pendengar setia Sinar FM kerana selalu berkumandang di stesen ini.

Perkataan Pertama Kembali memerlukan pendengar mengingati perkataan pertama sesebuah lagu. Apabila menerima isyarat yang ke udara, jadi pemanggil pertama menghubungi penyampai bertugas untuk mengambil bahagian dalam peraduan ini.

Sebuah sedutan lagu akan diputarkan dan peserta akan hanya diberi 10 saat untuk memberitahu apakah bait pertama lirik lagu tersebut. Peserta perlu ingat bahawa bukan tajuk lagu itu yang perlu diberi, tetapi perkataan pertama lirik lagu tersebut.

Jika berjaya memberikan jawapan tepat, habuan RM300 akan menjadi milik pemenang. Jika tidak, nilai tersebut akan dicampurkan dengan jumlah wang tunai di slot yang berikutnya. Setiap slot akan memainkan sedutan lagu yang berbeza.

Juga terdapat sekurang-kurangnya satu segmen bonus setiap hari. Pada waktu bonus, RM1,000 lagi akan dibawa pulang sebagai tambahan pada RM300 yang diperolehi.

Sinar FM menyediakan pembayang untuk lagu dalam jam bonus, yang boleh diperoleh dari akhbar Kosmo! setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Pengurus Rancangan Sinar FM, Rostam Said menyatakan penghargaan kepada semua pendengar yang menjayakan Perkataan Pertama di Sinar FM pada bulan Mac lalu dan mengalu-alukan lebih ramai pendengar mengambil bahagian pada kali ini.


ROSTAM (tengah) bersama para penyampai Sinar FM.


"Apabila kami memperkenalkan Perkataan Pertama pada awal tahun ini, ia merupakan julung-julung kali konsep program seumpamanya diperkenalkan melalui radio di negara ini, dan ternyata Sinar FM membuat percaturan yang tepat kerana sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Aktiviti ini menjadi bualan di mana-mana sahaja, dan kami menerima begitu banyak panggilan sepanjang hari, daripada mereka yang ingin mencuba nasib.

"Namun yang lebih penting, kami harap pendengar akan seronok menyertai dan mengikuti Panggilan Pertama kembali, seperti mana kami berbesar hati menyediakan hiburan berkualiti kepada semua," kata Rostam.

Tambahnya, Sinar FM saban hari makin mendapat tempat di hati pendengar radio. Variasi lagu-lagu retro dan terkini yang diputarkan menambat hati pendengar dan penggemar muzik dari pelbagai lapisan umur dan latar belakang.

DiCaprio disangka perompak

Posted:

DiCaprio disangka perompak

DiCaprio disangka perompak


LEONARDO DICAPRIO


SEPATUTNYA untuk aktor hebat seperti Leonardo DiCaprio, dia sudah cukup terkenal di seluruh dunia kerana sering muncul dalam pelbagai filem.

Namun ternyata ada juga yang masih tidak mampu mengenalinya. Lebih parah, dia bukan sahaja tidak dikenali, tetapi turut disangka sebagai perompak yang mahu merompak sebuah kedai barangan kemas!

Insiden itu terjadi di sebuah kedai perhiasan yang dikenali sebagai Family Jewels di Sydney, Australia. Ia terjadi selepas pengawal peribadi aktor itu secara tidak sengaja telah membunyikan alat penggera di kedai tersebut.

Pada saat alat tersebut berbunyi, DiCaprio betul-betul melangkah masuk ke dalam kedai itu dengan memakai cermin mata hitam, jaket dan topi yang membuatkan seorang pekerja di kedai tersebut menyangka dia mahu melakukan rompakan.

Bagaimanapun perasaan panik itu pantas dimatikan oleh pekerja lain yang mengenali aktor yang terkenal menerusi filem Titanic. Mereka segera menenangkan pekerja yang panik dengan memberitahu DiCaprio bukan seorang perompak, tetapi aktor terkenal dan dia singgah ke kedai tersebut untuk membeli perhiasan buat ibunya.

Selepas diberitahu lelaki yang disangka perompak itu adalah Leonardo DiCaprio, pekerja tersebut pantas mengaku sebenarnya dia mengenali aktor tersebut, namun oleh kerana dia datang dengan memakai jaket, cermin mata hitam dan topi, membuat dia tidak dapat mengecam aktor tersebut.

Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved