Isnin, 18 Julai 2011

Kosmo Online - Urban


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Urban


Beri komitmen demi berat ideal

Posted:

Beri komitmen demi berat ideal

Beri komitmen demi berat ideal

Oleh NIZHA PERIASWAMY
nizha.periswamy@kosmo.com.my



MENJAGA kesihatan dengan menghadiri latihan di gimnasium, melakukan senaman, berdiet, mengawal pengambilan gula, lemak dan sebagainya bukan hanya bererti anda mahu mengurangkan berat badan.

Ini kerana setiap manusia mempunyai berat badan ideal. Mereka yang kekurangan berat juga perlu mengamalkan penjagaan kesihatan sedemikian untuk menambah dan mengekal berat badan pada tahap ideal.

Apabila melihat wanita bertubuh kecil dan kurus, serta-merta seseorang akan berpendapat wanita itu sihat dan berada pada tahap kesihatan optimum. Sedangkan kurus dan kecil bukan bererti seseorang itu sihat tetapi mereka perlu berusaha untuk mendapatkan berat ideal.

"Setelah bertambah kira-kira lima kilogram daripada berat badan asal saya, saya berasa lebih sihat dan yakin. Bukan itu sahaja, saya juga merasakan diri ini lebih feminin kerana mempunyai bentuk badan yang curvy," ujar penerbit dan pengacara televisyen, Rina Omar.

Dia memberitahu, berat badannya yang sebelum ini 39 kilogram (kg) kini sudah bertambah menjadi 44kg iaitu seiring dengan ketinggiannya.

Tambah Rina yang sudah berusia 33 tahun dan sedang menanti hari perkahwinan, dengan penambahan berat badan itu, dia bukan sahaja berasa lebih sihat malah personaliti itu mengakui kecantikannya lebih terserlah.

"Sekarang saya mempunyai pipi. Jika selama ini, ia 'kecut' dan tidak kelihatan, sekarang ia lebih berisi.

"Saya tidak mahu apabila berumur kelak, saya menghadapi pelbagai masalah kesihatan. Naik tangga terasa sakit, turun tangga terasa letih, buat kerja pun tidak boleh. Oleh itu, berat badan ideal boleh membantu kita mengekalkan stamina," katanya.

Walaubagaimanapun, tidak mahu berat badannya menjadi berlebihan daripada sepatutnya, Rina akan melakukan senaman dan mengamalkan pemakanan seimbang untuk mengelakkan diri menambah lebih berat badan dan dalam masa yang sama sihat dengan berat ideal.

Acara tahunan


RHW 2011 adalah sebuah pertandingan kecergasan dan kesihatan yang sudah masuk tahun penganjuran keenam.


Rina adalah salah seorang peserta Roasters Health Watch (RHW) 2011, program pertandingan kesihatan yang dianjurkan secara tahunan oleh restoran Kenny Rogers Roasters dengan kerjasama daripada pusat gim Celebrity Fitness, Gintell dan Brooks.

Diadakan buat kali keenam, RHW menggunakan tema Venus vs Mars iaitu pertandingan kesihatan antara wanita dan lelaki. Pasukan yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap gaya hidup sihat, sama ada mencapai berat badan ideal, mengurangkan berat badan, membina otot, indeks berat badan (BMI) normal, peratus lemak badan yang sihat secara keseluruhan akan diumum sebagai pemenang.

Pada acara final RHW yang diadakan di restoran Kenny Rogers Roasters di Berjaya Times Square baru-baru ini, pasukan Venus atau wanita mencapai kemenangan apabila mereka mendapat markah tertinggi secara keseluruhan termasuk latihan senaman gim di Celebrity Fitness dan mengamal makanan sihat di Kenny Rogers Roasters selama lapan minggu bermula 16 Mac hingga 23 Jun yang lalu.

Ganjaran

"Pemenang membawa pulang hadiah terkumpul bernilai RM25,000, manakala Mars (lelaki) pula membawa hadiah terkumpul bernilai RM10,000. Setiap pasukan disertai seramai tujuh orang dan semuanya menunjukkan komitmen yang baik sejak pertandingan ini bermula.

"Saya berharap supaya kerja keras untuk mencapai kesihatan optimum ini diteruskan," kata Pengurus Penjenamaan Kanan Berjaya Roasters (M) Sdn. Bhd., Esther Woo.

Seorang lagi peserta wanita, Letchumy Ramasamy, 44, berkata, di sebalik komitmen terhadap keluarga dan kerja, dia tidak pernah meninggalkan sesi gim dan makan di Kenny Rogers.

"Kadangkala saya terpaksa melalui trafik yang teruk tetapi demi kesihatan dan memenangi pertandingan, saya memandu ke pusat gim di Mid Valley," kata Letchumy yang tinggal di Bukit Jalil. Dia yang berjaya mengurangkan 3.5 kilogram akan terus berusaha untuk 17 kilogram lagi bagi mencapai berat ideal.

Diet sihat


PASUKAN Venus gembira diumumkan pemenang dengan membawa pulang hadiah terkumpul bernilai RM25,000.


Dua ahli pasukan Venus yang paling muda, Chin Shook Been, 23, dan Thipatharrany Veriah, 21, tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam RHW dan mengikuti seruan amalan gaya hidup sihat.

"Sekarang kami lihat ramai wanita khususnya mereka yang berada di kawasan urban menyedari kepentingan penjagaan kesihatan diri, sama ada bersenam atau diet," ujar Shook Been.

Bagi kedua-dua peserta dari Kuala Lumpur itu, seseorang itu tidak perlu berlapar atau membuat aktiviti fizikal yang terlampau kerana cara itu tidak digalakkan.

"Tetapi kita perlu makan makanan sihat dan bersenam mengikut keperluan kerana ia memberikan kami tenaga yang berpanjangan," kata Thipatharrany.

Seorang lagi wanita yang telah berumah tangga dan bekerja sendiri, Norlina Non, 37, dari Subang Jaya berpendapat kesihatan menjadi asas kesejahteraan wanita.

Beliau yang berjaya menghilangkan sejumlah 7kg dalam program selama lapan minggu itu berjanji akan terus bersenam dan menjaga pemakanan demi mengurangkan berat seterusnya mencapai ukuran ideal.

"Bila saya pergi ke gim, saya agak terkejut melihat ramai wanita seusia atau lebih tua berada di situ. Rupanya ramai yang sedar mengenai kepentingan menjaga berat badan.

"Bila sihat, kita juga rasa lebih muda dan yakin. Mungkin itu rahsia kebanyakan wanita urban yang kelihatan jauh lebih muda dan sihat daripada usia sebenar," ujar Norlina.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

300,000 orang banjiri festival barangan India

Posted:

300,000 orang banjiri festival barangan India

300,000 orang banjiri festival barangan India

Oleh NIZHA PERIASWAMY



BERLEGAR-LEGAR melewati lebih 200 buah gerai yang menjual pakaian, makanan, barangan kraf, aksesori, perhiasan rumah, pakej perkahwinan India dan pelbagai produk perkhidmatan, Festival Beli-belah Global India (GISF) semestinya suatu pengalaman yang mengujakan.

Diadakan di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, ia dipenuhi pelbagai warna, kilauan produk hiasan kaca dan jemeki-jemeki yang sesekali menarik perhatian. GISF kali ini dipercayai antara yang terbesar pernah diadakan dalam tempoh sembilan tahun.

"Kami mahu satu festival beli-belah yang profesional. Sehubungan itu, kami perlu memastikan pelbagai perkara sebelum memastikan GISF berjalan seperti yang dirancang.

"Saya berbangga untuk menyatakan syarikat pengurusan acara kami antara yang berjaya melakukannya secara berterusan," ujar pengurus Agenda Suria Communication, D.P. Ganaa.

Tambah beliau, GISF pada tahun ini bukan sahaja menarik lebih ramai pedagang dari beberapa negara termasuk beberapa negeri utama di India, tetapi juga mencapai sasaran apabila hampir 300,000 orang tempatan mahupun pelancong asing mengunjungi festival tersebut.

"Walaupun tahun lalu angka itu lebih tinggi tetapi tahun ini festival tersebut hanya diadakan selama lima hari berbanding tahun sebelumnya 10 hari.

"Bagi kami, ia adalah rekod bagi tempoh yang singkat. Lebih menarik, jumlah peniaga bertambah dan menawarkan produk yang lebih banyak serta baru," tambah Ganaa.

Pedagang antarabangsa

GISF pada tahun ini mempelawa pedagang dari Kashmir, Rajasthan, Tamil Nadu, Bengal Barat, Maharastra, Orrisa, Punjab dan Kerala. Turut memeriahkan festival ialah para pedagang dari Andhra Pradesh, Andaman dan Nicobar, Gujarat dan Pakistan, Bangladesh dan Thailand serta beberapa peniaga tempatan dari Malaysia.

Sebagai festival beli-belah India yang terbesar di Asia Pasifik, GISF mendapat sokongan padu daripada kerajaan Malaysia, khususnya Pelancongan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan dan Perdagangan Luar Malaysia.

Seorang peniaga tempatan Hema Vijay Suntharam memberitahu, peluang berniaga di GISF sebagai satu peluang terbaik kerana kebanyakan pengunjung ke festival itu pasti akan membawa pulang sesuatu.

"Kami cuba menawarkan harga yang paling murah dan khas supaya barangan yang diperkenalkan di sini digunakan sepenuh oleh pengunjung. Kami tidak mahu membawa balik semula barangan ini," katanya yang menjual pelbagai jenis kain sari dan salwar kameez daripada koleksi pereka fesyen.

Dia yang memiliki butik Hemiz Collection di Puchong berharap supaya pihak penganjur GISF akan memberikan peluang kepada peniaga tempatan pada masa hadapan.

Harga murah



"Kami menjual fabrik yang dibawa khas dari Pakistan. Kami cuba sedaya upaya untuk menawarkan harga yang paling murah atau memberikan harga yang ditawarkan oleh pelanggan sahaja," kata seorang kakitangan yang bekerja di gerai Amarjeet Enterprise di GISF.

Ujar lelaki itu, sejak beberapa tahun sebelum ini majikannya mengambil bahagian dalam GISF.

Bahkan beberapa peniaga yang ditemui termasuk peniaga kasut memberitahu, mereka berasa seronok dan ghairah berniaga di GISF kerana dapat membawa pulangan yang tinggi dalam masa singkat selain dapat menawarkan harga istimewa kepada pengunjung.

"Saya menyeru kepada peniaga tempatan supaya menggunakan platform ini kerana ia membantu menjana pendapatan perniagaan," kata Gana.

Selain menjadi lokasi membeli-belah, GISF juga menjadi lokasi urusan komersial kerana ramai pengunjung menunjukkan minat untuk menjadi peruncit kepada pemborong dari India.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak penganjur turut mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan kebudayaan seperti tarian, nyanyian, peragaan pakaian tradisional dan aktiviti kanak-kanak.

Aktiviti memasak dan persembahan artis-artis tempatan menjadi salah satu tarikan pada festival tersebut. Berikutan respons yang baik setiap tahun, Agenda Suria Communication akan terus mengadakan festival seumpamanya.

GISF akan datang bakal diadakan di pusat beli-belah Penang Times Square pada 29 Ogos hingga 4 September 2011 sempena sambutan Deepavali pada bulan berikutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dendang irama Bollywood

Posted:

Dendang irama Bollywood

Dendang irama Bollywood

Oleh NIZHA PERIASWAMY


Jamz KaraokeJalan Tun Sambanthan 4,Brickfields, Kuala Lumpur.Waktu Operasi: 3 petang hingga 2 pagiCaj: RM25 hingga RM120 sejam


MENGUNJUNGI pusat karaoke menjadi salah satu pilihan aktiviti bersantai. Dengan perbezaan dari segi tawaran judul lagu untuk hiburan bersama keluarga dan teman-teman, Jamz karaoke di Brickfields, Kuala Lumpur menawarkan ribuan lagu pelbagai bahasa.

Jika pengunjung pusat karaoke lain hanya mempunyai pilihan lagu Inggeris, Melayu, Indonesia dan Cina, pengunjung Jamz ditawarkan dengan tambahan lagu berbahasa Tamil dan Hindustan.

"Kami mahu menjadi pusat karaoke yang berskala besar dari segi kedatangan pengunjung. Ia tidak terhad kepada peminat lagu Tamil atau Melayu malah semua jenis bahasa utama di Malaysia," kata pemilik Jamz, Vijay Emergency.

Popular dengan panggilan tersebut lantaran dirinya ialah artis Tamil tempatan popular, Vijay memberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk mengkompilasikan lagui-lagu Tamil tempatan dalam pilihan karaoke tidak lama lagi.

Jamz Karaoke yang dilancarkan awal tahun ini menawarkan 18 bilik karaoke pelbagai saiz. Bilik besar boleh memuatkan 25 orang, sementara bilik sederhana besar untuk kapasiti lima hingga lapan orang manakala yang kecil untuk kumpulan satu hingga empat orang.

"Kami sedang cuba menambah ruang memandangkan respons positif daripada pengunjung. Oleh itu, kami bercadang untuk membuka sebuah lagi bilik besar di tingkat bawah dan beberapa bilik sederhana dan kecil, mengikut keperluan.

"Bilik besar di Jamz Karaoke, selain menjadi tempat berkaraoke bagi kumpulan besar, ia juga menjadi permintaan untuk mengadakan majlis hari jadi, sambutan hari ibu atau bapa dan hari bersama rakan. Jadi, wajarlah kami menambah lebih pilihan," kata Vijay.

Jamz Karaoke juga amat peka dalam mengenakan caj supaya lebih ramai yang dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.


SEBUAH bilik luas yang memberi keselesaan kepada pengunjung dalam kumpulan besar.


Diakui sebagai berpatutan, Vijay memberitahu pihaknya hanya mengenakan bayaran mengikut jam di antara RM25 dan RM30 (hujung minggu) bagi bilik paling kecil, RM40 dan RM45 (hujung minggu) balik bilik sederhana besar serta RM100 dan RM120 (hujung minggu) bagi bilik paling besar atau khas.

"Kami juga menyediakan dapur untuk menyambut selera pengunjung," ujar Vijay sambil menunjukkan menu-menu menarik termasuk makanan ringan, snek dan nasi serta pelbagai jenis minuman.

Bagi mereka yang bercadang mengadakan majlis hari jadi, ulang tahun dan sebagainya, katering juga disediakan.

Menambah nilai kepada Jamz Karaoke, Vijay turut memperkenalkan kad keahlian yang menawarkan pelbagai faedah seperti mengumpul poin, tambahan masa dan diskaun harga mengikut jenis kad.

Kad keahlian biasa di Jamz Karaoke bernilai RM30 tetapi Vijay menggalakkan peminat karaoke membeli kad emas dan platinum.

"Bagi kad emas, caj keahlian ialah RM3,000 tetapi kami memberikan banyak manfaat. Ia selaku kad debit tetapi ditawarkan tambahan 10 peratus nilai. Selain itu kami juga memberikan baucer tambahan RM250 untuk menggunakan bilik khas," katanya.

Bagi kad platinum pula, RM5,000 dikenakan dengan tambahan nilai 15 peratus, baucer RM300 untuk bilik khas dan tempat letak kereta khas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved