Selasa, 19 Julai 2011

Kosmo Online - Rencana Utama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Kongsi kelas demi pelajaran

Posted:

Kongsi kelas demi pelajaran

Kongsi kelas demi pelajaran

Oleh ALIF ABU BAKAR



BUNYI ketikan mesin braille dari kelas tingkatan enam atas sastera dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John, Bukit Nanas, Kuala Lumpur itu dapat didengari di sepanjang koridor aras satu bangunan empat tingkat itu.

Dari kejauhan, terdengar suara seorang guru lelaki sedang mengajar pelajar-pelajar kelas tersebut dengan penuh dedikasi.

Salam yang diberi penulis dan jurugambar Amin Farij Hasan menghentikan proses pembelajaran mereka pada hari itu namun kehadiran kami disambut baik.

Suasana dalam kelas tersebut itu tampak berbeza daripada kelas-kelas di sekolah lain. Unik dan kami kagum menyaksikan kemesraan pelajar-pelajar yang menghadapi masalah penglihatan bersama-sama pelajar-pelajar normal.

Itulah pendekatan yang digunakan di sekolah yang telah berusia 107 tahun itu iaitu pelajar-pelajar masalah penglihatan diletakkan di bawah program integrasi untuk memberi peluang kepada mereka merasai suasana belajar seperti pelajar lain.

Penyelia tingkatan enam sekolah itu, Mohd. Latun Nordin memberitahu, pembelajaran melibatkan pelajar yang mempunyai masalah penglihatan dan pelajar normal tidak bezanya dengan cara mengajar di kelas pelajar-pelajar normal.

"Bagi membolehkan pelajar-pelajar masalah penglihatan memahami sesi pembelajaran, kami akan memberitahu guru khas tentang topik yang akan diajar.

"Kemudian, guru khas akan menyediakan bahan-bahan yang diperlukan dan ketika di dalam kelas mereka telah bersedia dan tidak akan ketinggalan," katanya yang telah 11 tahun berkhidmat di SMK St. John.

Bagi memastikan pelajar-pelajar masalah penglihatan tidak berasa asing, setiap mereka dipasangkan dengan seorang pelajar normal bagi membantu memudahkan urusan pembelajaran mereka.

Ujar Mohd. Latun lagi, setakat ini kesemua pelajar tersebut tidak berdepan masalah besar walaupun layanan yang diberikan sama rata seperti pelajar normal lain.

Lebih mengagumkan, denda dan hukuman terhadap pelajar-pelajar masalah penglihatan yang tidak menyiapkan tugasan adalah serupa seperti pelajar lain.

Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi (Penglihatan) sekolah itu, Buyah Anuar, 53, menjelaskan tujuan program integrasi itu dijalankan adalah bagi melatih pelajar masalah penglihatan berdepan dengan dunia realiti.

Menurut Buyah, majoriti pelajar masalah penglihatan yang masuk ke tingkatan enam sekolah itu datang daripada sekolah-sekolah pendidikan khas.

Medan dunia realiti


MESRA. Hubungan antara pelajar-pelajar yang normal dan kurang bernasib baik di SMK St. John bagaikan aur dengan tebing.


Suasana baru yang ditempuh pelajar-pelajar tersebut nyata berbeza berbanding sekolah terdahulu kerana mereka perlu membiasakan diri dengan kelompok sosial baharu.

"Di sini, mereka perlu menyediakan nota sendiri dan kami hanya membimbing sekadar yang perlu.

"Selepas tingkatan enam, kebanyakan mereka akan masuk ke universiti, jadi mereka perlu menyiapkan diri sebaik-baiknya sebelum melangkah ke dunia sebenar.

"Di luar sana mereka perlu berdikari dan tiada siapa yang akan membimbing mereka.

"Pendekatan yang kami gunakan di sekolah ini diharap dapat memberikan mereka gambaran kehidupan sebenar yang penuh dengan dugaan," kata Buyah yang menjadi guru pendidikan khas sejak tahun 1991 lagi.

Selain membiasakan golongan yang kurang bernasib baik itu untuk bergaul dengan masyarakat, mereka juga dilatih untuk pulang dari sekolah menaiki pengangkutan awam sendiri.

Norhafidza Azlin, 31, bekas pelajar program integrasi sekolah itu yang kini bertugas sebagai salah seorang tenaga pengajar pelajar-pelajar program tersebut mendedahkan tugas seorang guru pendidikan khas turut melibatkan pengajaran mobiliti.

Sesi khas tersebut kebiasaannya dilakukan pada hari Jumaat. Pelajar-pelajar akan diajar menggunakan tongkat tanpa bantuan orang lain menuju ke stesen bas ataupun stesen transit aliran ringan (LRT).

Menerusi pembelajaran tersebut, mereka akan diberitahu tentang penggunaan lampu isyarat dan mengenal pasti beberapa tanda pandu di beberapa kawasan.

Budaya memupuk pelajar masalah penglihatan hidup berdikari sememangnya disokong oleh pelajar-pelajar itu sendiri yang merasakan satu pengalaman baharu yang tidak pernah diterapkan kepada mereka suatu ketika dahulu.

Kerdil pelajar buta

Seorang pelajar program tersebut, Mohd. Shahrir Ramli, 21, yang kini menuntut dalam tingkatan enam atas mengimbau detik awal melangkah ke dalam kelas yang dianggap istimewa baginya.

"Saya sudah biasa belajar bersama pelajar-pelajar seperti saya dan apabila perlu bergaul dengan pelajar normal, ia agak sukar.


ROBIAH mengajar pelajar-pelajar istimewa dengan penuh dedikasi.


"Perkara paling mencabar adalah menggunakan mesin braille di dalam kelas kerana seperti yang diketahui bunyi mesin tersebut agak bising dan saya bimbang akan mengganggu pembelajaran pelajar-pelajar lain.

"Hari-hari pertama dalam kelas akan saya ingat sampai bila-bila kerana saya terdengar keluhan beberapa pelajar lain terhadap bunyi mesin braille saya," luah Shahrir yang menduduki tempat pertama dalam peperiksaannya baru-baru ini.

Perasaan hormat terhadap pelajar lain juga pernah mendorong Shahrir memegang kekunci mesin braille miliknya semata-mata tidak mahu mesin tersebut mengeluarkan bunyi bising.

Perasaan serba salah yang hadir dalam diri Shahrir itu turut dirasai pelajar baharu program tersebut, Siti Najiha Abdul Rahman, 19, yang kini menuntut sebagai pelajar tingkatan enam bawah sejak Mei lalu.

Pengalaman yang ditempuh pelajar dari Jasin, Melaka itu pada mulanya sukar untuk ditelan memandangkan rasa khuatir terhadap gangguan bunyi mesin braille akan membuatkan pelajar lain berasa kurang selesa untuk belajar.

"Pernah satu hari pelajar-pelajar pendidikan khas ditegur kerana tidak menaip nota yang dibacakan oleh cikgu di dalam kelas.

"Selepas beberapa ketika baharu kami semua yakin untuk mengggunakan mesin braille malah pelajar-pelajar lain juga tidak rasa terbeban dengan kehadiran kami," kata Siti Najiha.

Selain itu, pelajar-pelajar masalah penglihatan itu juga pernah berasa dipinggirkan kerana guru-guru membaca nota terlalu laju hingga membuatkan nota mereka tidak lengkap.

Bagaimanapun, kini mereka sedar tujuan guru-guru tersebut berbuat demikian adalah mahu melatih mereka untuk fokus dengan pengajaran. Hari ini tahap penulisan mereka menerusi mesin braille juga menjadi amat pantas.

Tidak keterlaluan jika dikatakan prinsip yang dipegang oleh pelajar-pelajar yang menghadapi masalah penglihatan itu membina keharmonian luar biasa dalam kalangan mereka.

Bagi mereka, menyelami ke dunia pelajar-pelajar normal adalah cara terbaik untuk mewujudkan kemesraan kerana tidak mudah membuatkan pelajar lain untuk mengerti dunia mereka.

Keterbukaan pelajar normal

Ibarat kata pepatah, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing begitulah amalan pelajar-pelajar normal sekolah itu yang tidak berbelah-bahagi membimbing rakan-rakan mereka yang kurang bernasib baik.


INILAH guru-guru yang terlibat dalam program pendidikan khas integrasi. Duduk dari kiri: Adzim, dan Rosmin. Berdiri dari kiri: Azliza, Norhafidza, Robiah dan Buyah.


Selaku ahli kepada kelab pembimbing pelajar-pelajar masalah penglihatan serta rakan sekelas mereka, Abd. Rahman Hairuddin, 18, turut berkongsi pengalaman saat pertama kali duduk sebumbung dengan pelajar-pelajar masalah penglihatan.

Paling ketara adalah penerimaan penggunaan mesin braille yang dirasakan agak bising dan mengganggu kosentrasinya terhadap pelajaran.

"Namun lama-kelamaan, bunyi mesin braille tersebut sudah dirasakan seperti muzik di dalam kelas malah kami semua akan berasa sunyi dan pelik jika tiada bunyi mesin braille mereka," kata pelajar tingkatan enam bawah sastera dua itu.

Seorang lagi pelajar, Nicol Paul Miranda, 17, menyifatkan keputusan cemerlang yang diraih pelajar-pelajar masalah penglihatan adalah berkat usaha yang mereka lakukan.

Jelas Nicol, pelajar yang mempunyai masalah penglihatan juga tidak malu bertanya kepada kawan-kawan lain serta memiliki semangat tinggi untuk belajar.

Rupasree Ganesan, 18, pula merasakan pergaulan dalam kalangan pelajar masalah penglihatan lebih menyeronokkan kerana mereka tidak banyak kerenah dan lebih jujur dalam persahabatan.

"Kami semua sudah seperti satu keluarga dan kami tidak berasa kehadiran mereka di dalam kelas satu perkara menyusahkan.

"Inilah pengalaman yang tidak akan dapat di tempat lain kerana suasana yang kami ciptakan amat istimewa," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved