Sabtu, 30 Julai 2011

Kosmo Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Hiburan


Enggan dibayangi Roy Marten

Posted:

Enggan dibayangi Roy Marten

Enggan dibayangi Roy Marten

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN



NAMA Roy Marten sememangnya satu nama yang cukup besar dalam industri hiburan di Indonesia. Dikenali sebagai seorang aktor yang cukup popular sekitar tahun 70-an dan 80-an, pelakon tersebut juga pernah meraih bayaran paling mahal untuk berlakon dalam sebuah filem. Masih lagi menerima tawaran lakonan, tetapi kini darah seninya itu turut diwarisi oleh salah seorang anaknya iaitu Gading Marten.

Tidak seperti bapanya yang sememangnya dikenali di Malaysia suatu ketika dahulu, nama Gading Marten pastinya masih asing lagi di negara ini. Namun, di negara asalnya dia adalah antara pelakon serta hos yang semakin mencipta nama.

Mewarisi bakat seni daripada bapanya itu, Gading merupakan pelakon yang acap kali membintangi sinetron seperti Putri Yang Terbuang, Jelita, Liontin 2, Si Cantik dan Si Cantik Dan Si Buruk Rupa dan Hingga Akhir Waktu. Malah, ada antara sinetron tersebut yang pernah disiarkan di kaca televisyen tempatan.

Biarpun mengakui sangat bertuah kerana dilahirkan sebagai anak kepada seorang pelakon terkenal, namun aktor yang lahir pada 8 Mei 1982 di Jakarta itu tidak pernah menggunakan nama bapanya untuk mencipta nama dalam bidang lakonan.

"Orang selalu beranggapan bahawa sebagai anak Roy Marten, maka akan lebih mudah untuk saya mendapatkan tawaran berlakon. Sedangkan hakikatnya segala yang saya kecapi sekarang adalah hasil usaha sendiri.

"Sama seperti kebanyakan pelakon-pelakon yang lain, saya juga terpaksa bermula dari bawah dan turut menjalani sesi uji bakat sebelum diterima berlakon. Perjalanan karier seni saya sebenarnya tidaklah mudah seperti sangkaan ramai," ujarnya ketika ditemui sewaktu hadir ke Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Gading, meskipun sehingga kini ayahnya itu masih lagi dikenali ramai, namun dia tidak mahu terus dibayangi oleh populariti ayahnya dan akan cuba untuk elak daripada dikenali sebagai anak Roy Marten.

Bagaimanapun, dia tetap menjadikan ayahnya itu sebagai seorang idola dalam bidang lakonan dan turut berazam untuk mengukir nama seperti ayahnya dengan dikenali sebagai seorang pelakon yang disegani.

Namun begitu, memandangkan ayahnya merupakan seorang pelakon yang cukup hebat dan berkaliber, Gading juga turut tidak dapat mengelak tentang tanggapan sesetengah pihak yang selalu membandingkan gaya lakonan mereka berdua.


GADING MARTEN berusaha untuk meraih populariti melalui kredibilitinya sendiri tanpa dikaitkan dengan bapanya, Roy Marten.


"Perkara itu memang tidak dapat dinafikan dan sudah tentu saya berasa kurang selesa. Namun, ayah selalu berpesan supaya tidak mempedulikan orang yang gemar membuat perbandingan dan yakin saya mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini," ujar aktor berusia 29 tahun itu lagi.

Ditanya tentang perkembangan terbaharu ayahnya itu sama ada masih lagi berlakon atau sudah bersara, beritahu Gading selepas dibebaskan dari penjara, ayahnya kini kembali membuat kemunculan dalam dunia lakonan.

Ujarnya, dalam tempoh terdekat ini ayahnya akan muncul dalam sebuah filem berjudul Dilema dan bergandingan dengan beberapa orang pelakon popular seperti Wulan Guritno, Slamet Rahardjo dan Lukman Sardi.

Apa yang menariknya, meskipun kedua-duanya itu bergelar seorang pelakon, tetapi sehingga kini mereka berdua masih lagi belum pernah bergandingan bersama dalam mana-mana filem atau sinetron.

"Memang setakat ini saya dan ayah belum pernah berlakon bersama-sama. Namun, sudah ada rancangan untuk menggandingkan kami menerusi sebuah filem yang akan memulakan penggambaran pada bulan September akan datang," jelasnya lagi.

Nafi playboy

Meskipun namanya kini semakin dikenali ramai, tetapi Gading juga tetap tidak terlepas daripada dihambat dengan kisah-kisah peribadi yang cukup kontroversi yang dilihat boleh menggugat kariernya sebagai seorang aktor.

Sehinggakan dia telah dilabel sebagai seorang aktor playboy yang sering mendampingi gadis-gadis cantik yang juga merupakan selebriti terkenal seperti Astrid Tiar dan Nirina Zubir, meskipun pada masa yang sama sudah mempunyai kekasih.

Lebih menarik lagi, aktor berkenaan juga pernah mendapat ancaman bunuh daripada pihak yang tidak dikenali setelah dituduh mempunyai sikap negatif yang suka merebut gadis yang sudah mempunyai teman lelaki.

Apabila diminta mengulas mengenai tohmahan negatif yang dilemparkan kepadanya itu, Gading menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang mengatakan dirinya seorang playboy dan suka menggugat hubungan percintaan orang lain.

"Saya bukanlah seorang lelaki playboy yang disangkakan ramai orang. Sebenarnya, saya ini jenis lelaki yang gemar memiliki ramai kawan dan tidak kisah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

"Mungkin ada yang melihat saya keluar dengan sesetengah wanita, lalu membuat tanggapan bahawa wanita berkenaan adalah kekasih saya. Sedangkan hakikat yang sebenar hubungan saya dan wanita yang dimaksudkan adalah sekadar rakan sahaja," jelasnya.

Malah, aktor tersebut juga sempat bergurau apabila mengatakan pihak yang melabelkannya sebagai seorang lelaki yang gemar memiliki ramai teman wanita adalah berpunca daripada watak-watak yang dilakonkan oleh ayahnya dahulu.

"Sewaktu ayah saya masih lagi muda, dia selalu memainkan peranan sebagai seorang playboy dalam kebanyakan filem lakonannya. Jadi orang beranggapan sikap playboy itu telah diperturunkan kepada saya pula," ujarnya.

Hubungan baik

Tentu peminat hiburan di negara ini sudah mengetahui tentang kontroversi yang berlaku terhadap Roy Marten yang menerima hukuman penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah sekitar tahun 2007.

Atas kesalahan memiliki dadah jenis syabu ketika diberkas di sebuah hotel, aktor berkenaan telah dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun. Akhirnya pada tahun lalu dia telah dibebaskan dari penjara.

Biarpun pernah melakukan suatu kesalahan yang cukup besar sehingga terpaksa meringkuk di penjara, namun Gading memberitahu bahawa hubungan dia dan ayahnya itu masih lagi baik sehingga kini.

"Tiada manusia di dunia ini yang dirinya adalah sempurna dan setiap orang akan melakukan kesalahan. Walau sebesar mana sekalipun kesalahan yang pernah dilakukan, dia masih lagi ayah saya.

"Oleh sebab itu tidak ada sebab untuk saya membenci dirinya dan hubungan kami berdua juga masih tetap baik. Secara jujurnya, saya beruntung kerana memiliki seorang ayah sepertinya," jelas Gading mengenai hubungan mereka berdua setelah ayahnya itu dibebaskan dari penjara.

Ujarnya lagi, dia menyifatkan ayahnya sebagai seorang individu yang cukup baik dan disebabkan kebaikannya itu juga menjadi punca dia telah menjadi mangsa penganiayaan orang lain sehingga meringkuk di penjara.

"Sebagai seorang anak saya perlu menghormatinya dan tidak ada sebab untuk kami bermusuhan. Biar apa juga kesalahan yang pernah dilakukan, saya memang sudah lama memaafkannya," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Filem X tampil enam heroin

Posted:

Filem X tampil enam heroin

Filem X tampil enam heroin

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


BARISAN karyawan filem X kini sedang giat dalam penggambaran filem tersebut. Lima dari kiri, Liana Rafiai, Diana Amir, Siti Chubby, Nuremy Ramli dan Chloe Nicole.


APABILA filem terbaharu keluaran Metrowealth Pictures (MIG) diberi judul X, sudah tentu ia mengundang pelbagai persoalan oleh ramai pihak dan boleh dikatakan ia adalah tajuk filem paling pendek di negara ini.

Merupakan filem ke-63 yang dihasilkan oleh MIG, X adalah sebuah filem terkini bergenre aksi komedi yang diarahkan oleh Ahmad Rusli Khadri yang juga merupakan pengarah ketujuh di bawah Skim 10 Pengarah Muda MIG.

Mengenai tajuk filem berkenaan, Ahmad Rusli menjelaskan bahawa 'X' bermaksud 'bekas' dan jalan ceritanya pula adalah berkenaan dengan kehidupan seorang lelaki yang terpaksa melayan karenah bekas-bekas isterinya.

"Pada asalnya judul filem ini adalah Bekas Isteri, namun saya merasakan ianya kurang sesuai dan akhirnya judul X telah dipilih kerana ia sangat ringkas dan saya yakin ia mampu untuk menarik minat penonton.

"Sebenarnya saya sangat berdebar kerana ini merupakan filem sulung arahan saya dan saya berterima kasih kepada David Teo kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk mengarah filem ini," ujarnya pada majlis pelancaran filem tersebut baru-baru ini.

Sudah menjalani penggambaran pada 21 Julai lalu, filem X mengisahkan mengenai seorang lelaki bernama Hafiz yang terlalu percaya cinta, tetapi sering gagal dalam perkahwinannya sebanyak lima kali.

Kemudian ketika hendak melangsungkan perkahwinan buat kali yang keenam, tiba-tiba kelima-lima bekas isterinya muncul dan bermula dari saat itu pelbagai kejadian dan aksi menarik telah berlaku.

Menurut Ahmad Rusli yang juga dikenali sebagai Ollynn, selain dibintangi oleh Pierre Andre yang memegang watak utama sebagai Hafiz, filem berkenaan turut turut membariskan enam orang heroin.

Jelasnya, pelakon-pelakon yang memegang watak heroin adalah gabungan pelakon baharu dan popular seperti Diana Amir, Intan Ladyana, Siti Chubby. Chloe Nicole, Nuremy Ramli dan Liana Rafiai.

"Boleh dikatakan filem ini memang cukup unik kerana selain judulnya yang pendek, ia juga menampilkan sehingga enam orang heroin dan setiap watak mereka pula adalah seimbang," jelasnya.

Mengenai pemilihan pelakon pula, sebagai pengarah dia telah diberikan peluang untuk memilih sendiri dan yakin setiap pelakon dalam filem tersebut dapat membawakan watak masing-masing dengan baik.

Tentang skrip pula, ia telah dihasilkan Loh Chung Tat dan Panel MIG. Bagaimanapun, sebanyak dua kali rombakan telah dibuat terhadap skrip berkenaan terutama pada pertengahan cerita sehinggalah penamatnya.

Sementara itu, David Teo selaku peneraju MIG menjelaskan pemilihan Ahmad Rusli untuk menjadi pengarah filem berkenaan adalah bertepatan dengan pengalamannya sebagai pengarah beberapa buah drama dan telefilem sebelum ini.

"Sebenarnya Ahmad Rusli sudah meluahkan keinginannya untuk mengarah filem sejak tahun lepas lagi. Namun, saya menjelaskan kepadanya supaya bersabar dahulu dan dia perlu menunggu giliran.

"Kini masanya sudah tiba untuk saya memberi kepercayaan kepadanya dan dia merupakan pengarah ketujuh di bawah Skim 10 Pengarah Muda MIG. Jadi, saya harap dia mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan kepadanya," jelas David.

Sebelum ini Ahmad Rusli telah mengarahkan drama-drama seperti Jangan Pandang Belakang Congkak The Series dan Impian Raya Emelyn serta telefilem Diari Suami 9 Bulan, Korban Kasih Abah, Balik Kampung dan Saya Tahu Apa Awak Buat Raya Lalu.

Selesa watak komedi

Sementara itu, Pierre Andre yang turut ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut pula berkata dia tertarik untuk berlakon dalam filem X kerana tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan.

Menurutnya, buat masa sekarang ini dia lebih berminat untuk berlakon filem-filem yang bergenre komedi kerana merasakan ia lebih mudah untuk dilakukan dan tidak terlalu tertekan berbanding membawakan watak serius.

"Skrip dan jalan cerita filem ini cukup menarik dan saya menjadikan pelakon komedi terkenal Hong Kong iaitu Stephen Chow sebagai sumber inspirasi saya untuk membawakan watak ini dengan lebih berkesan.

"Apa yang lebih menarik lagi saya juga memainkan watak sebagai seorang pemandu drift dan untuk watak tersebut saya perlu mempelajari tentang teknik-teknik pemanduan drift. Lagipun sudah lama saya teringin untuk belajar memandu drift dan sekarang baharulah saya berpeluang," ujarnya.

Ditanya mengenai pandangannya berlakon di bawah arahah pengarah baharu seperti Ahmad Rusli, Pierre menjelaskan tiada masalah besar buat dirinya kerana mereka berdua sudah pernah bekerjasama sebelum ini.

"Kami berdua pernah bekerjasama apabila dia bertindak sebagai pengarah seni untuk beberapa buah filem seperti 9 September dan Jangan Tegur. Malah, saya lihat dia mampu untuk pergi lebih jauh sebagai seorang pengarah.

"Walaupun selama ini kami memang sudah lama berkawan, namun sewaktu menjalani penggambaran nanti saya akan tetap menghormatinya selaku pengarah untuk filem ini," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

MTV World Stage 2011 lancar

Posted:

MTV World Stage 2011 lancar

MTV World Stage 2011 lancar

Oleh HARYATI KARIM


VOKALIS Neon Trees, Tyler Gleen muncul di tengah audiens sewaktu memulakan persembahan mereka.


JIKA tahun lalu penganjur MTV World Stage membariskan barisan penyanyi yang gah seperti Katy Perry sehingga membuatkan peminat terpaksa menunggu begitu lama sebelum penyanyi itu muncul di pentas, tahun ini MTV World Stage Live in Malaysia 2011 berjalan dengan lebih lancar. Nampaknya penganjur telah memperbaiki kekurangan sebelum ini.

Pentas persembahan di i-City Shah Alam, Selangor pada malam Ahad lalu dimulakan dengan persembahan band popular Malaysia, Pop Shuvit yang baru sahaja muncul dengan album terbaharu mereka berjudul Cherry Blossom Love Affair.

Menyanyikan barisan lagu popular mereka seperti Oh! Sizuka, Ol Skool Rocka dan buat pertama kalinya lagu Seperti Syurgamu yang dipetik daripada album terkini mereka dinyanyikan secara langsung bersama penyanyi otai Man Bai.

Walaupun berbeza era, namun, gabungan Man Bai dan Pop Shuvit cukup serasi meskipun ketika menyanyikan lagu tersebut, kedengaran suara Man Bai seperti tidak sampai. Apa pun persembahan Pop Shuvit memang cukup membanggakan dan bertenaga.

"Kami semua seronok hari ini dan cukup teruja menghiburkan peminat, kami yakin kami lakukan yang terbaik," kata vokalisnya Moots ketika ditemui beberapa jam sebelum konsert berlangsung.

Tidak sah rasanya persembahan Pop Shuvit tanpa lagu berhantu mereka Marabahaya yang membuatkan penonton tidak kira usia melompat-lompat mengikut rentak lagu. Menariknya dalam persembahan penutup Pop Shuvit itu mereka turut menjemput projek E.A.R yang terdiri Daly Ahli Fiqir (Singapura), Daniel Tanapon Supwattana (Thailand) dan Jamir, Slapshock (Filipina).

Kemudian sebelum menyambung konsert, persembahan dihentikan buat sementara waktu bagi menghormati azan Maghrib. Selepas itu, band asal Korea Selatan yang baru sahaja bertemu peminat mereka di Malaysia iaitu Beast mengambil alih pentas dengan mendendangkan lagu rancak berjudul Shock.

Ternyata, gabungan gerak tari, wajah tampan dan juga busana putih yang disarungkan hari itu membuatkan peminat mereka yang kebanyakannya remaja perempuan menjerit sambil mengangkat kain rentang dan kad-kad yang dibikin mereka khas untuk Beast.

Beast juga menghiburkan peminat dengan barisan lagu seperti Fiction dan When It Rains. Band yang dianggotai oleh Yoon Du Jun, Jang Hyun Seung, Yong Jun Hyung, Yang Yo Seob, Lee Gi Kwang dan Son Dong Woon itu terus menghiburkan peminat selepas video mereka ditayangkan di skrin gergasi dan mereka menukar pakaian dengan menyanyi lagu Special, Breath dan lagu terakhir mereka Beautiful sambil melemparkan bunga ke arah peminat mereka.


KUMPULAN BEAST membuat peminatnya terutama perempuan, menjerit bagaikan diserang histeria.


Persembahan Beast memang cukup menghiburkan tetapi mereka mempunyai kekangan bahasa kerana jelas kelihatan mereka mencuba untuk berkomunikasi dengan peminat Malaysia, tetapi kelihatan janggal. Hanya beberapa butir perkataan yang terluah daripada mereka.

Disebabkan itu Beast dilihat hanya dinikmati oleh kelompok peminatnya sahaja, selepas persembahan Beast selesai, berduyun-duyun peminat mereka keluar daripada tapak konsert, membuktikan mereka hanya hadir untuk menonton persembahan Beast.

Kemunculan kumpulan rock alternatif, Neon Trees pada set ketiga juga tidak menghampakan. Kumpulan berasal dari Utah, Amerika Syarikat itu berjaya menghiburkan peminat untuk sama-sama menyanyi dan melonjak bersama. Vokalisnya, Tyler Glenn, menarik perhatian apabila muncul daripada tengah khalayak penonton di bawah pentas ketika menyanyikan lagu pertama mereka Your Surrender.

Tyler juga bijak mengawal menonton dengan berceloteh sebelum menyampaikan sesebuah lagu termasuk In The Next Room, 1983, Love and Affection, Sins of My Youth dan tidak ketinggalan lagu single mereka yang cukup popular di carta radio, Animal.

Kemuncak persembahan sudah tentu tertumpu kepada penampilan band yang dinantikan ramai penonton iaitu Thirty Seconds to Mars. Walaupun terpaksa menunggu lama sekitar 45 minit sebelum band itu muncul di pentas, peminat setia menunggu.

Sepanjang menunggu band tersebut, VJ MTV Utt dan Holly bijak mengalih perhatian peminat mengedarkan beberapa barangan cenderamata, tetapi suara VJ Holly kadangkala terlalu membingitkan telinga.


VJ Holly dan VJ Utt berjaya mengemudi majlis dengan baik.


Peminat kembali bersorak sebaik sahaja pemain drum band itu memecah suasana dengan ketukan drum bertenaga diikuti dengan kemunculan vokalisnya, Jared Letto menyampaikan lagu Escape yang dipetik daripada album This Is War, yang mana album itu berjaya meraih multi-platinum serta berjaya meraih beberapa anugerah MTV sebelum ini. Jared meneruskan persembahan dengan lagu A Beautiful Lie, Attack, Search and Destroy, dan single nombor satu Thirty Seconds to Mars, This Is War.

Melihat peminat yang tidak henti menyanyi dan menari bersama alunan muzik mereka, band itu turut mempersembahkan tiga buah lagu secara akustik iaitu The Kill, Hurricane dan Closer to the Edge. Band yang mempunyai ramai peminat itu mengakhiri persembahannya dengan lagu Kings and Queen dan persembahan terakhirnya itu turut disertai oleh peminat apabila Jared memanggil peminat untuk sama-sama naik ke pentas.

Secara keseluruhan MTV World Stage kali ini lebih lancar tetapi kurang impaknya berbanding dengan penganjuran sebelum ini.

MTV World Stage Live In Malaysia 2011 yang pertama kali dirakamkan dalam versi 3D di Asia ini akan ditayangkan secara eksklusif di saluran MTV SEA (saluran Astro 713) pada 8 Ogos hadapan, pada jam 12.00 tengah malam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.kosmo.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Kosmo

Copyright 2010 All Rights Reserved